13 March 2008

'Usah dengar khabar angin dibuang kerja'

Berita Harian

SHAH ALAM: Penjawat awam di Selangor diminta tidak panik dengan khabar angin mereka akan diberhentikan kerja oleh kerajaan negeri baru yang dikuasai pakatan pembangkang.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud, berkata kerajaan negeri campuran gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak boleh membuang kakitangan kerajaan sesuka hati walaupun pekerja kontrak kerana banyak prosedur perlu dipatuhi.

Katanya, kerajaan negeri berdepan masalah termasuk diseret ke mahkamah jika memecat kakitangan kerajaan tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan seperti memberi notis lebih awal dan sebab pemecatan.

"Sepatutnya tiada masalah dengan kakitangan kerajaan kerana mereka perlu bersikap berkecuali dan hanya bertugas memberi khidmat kepada kerajaan yang memerintah," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, ada tiga kategori kakitangan kerajaan iaitu kakitangan kerajaan Pusat yang dilantik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan semua urusan pertukaran dilakukan JPA.

Bagi kakitangan kerajaan negeri, pelantikan dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) dengan perkenan Sultan Selangor dan pemecatan seseorang kakitangan itu perlu melalui banyak prosedur.

Ramli berkata, bagi kakitangan kontrak yang diambil untuk mengurangkan beban tugas kakitangan tetap pula perlu dimaklumkan lebih awal dan mematuhi peraturan sebelum boleh dipecat.

"Memang mudah untuk ambil kakitangan bekerja tetapi sukar untuk berhentikan mereka. Kita telah berhentikan ramai kakitangan tetapi mengikut prosedur. Jika tidak, kita akan diseret ke mahkamah dan mungkin diarah bayar ganti rugi sampai kakitangan berkenaan pencen," katanya.

Mengenai jawatan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Datuk Bandar, beliau berkata mereka adalah kakitangan Kerajaan Pusat yang diambil bekerja di negeri dan akan balik ke Persekutuan jika tidak diperlukan.

"Jawatan ini terbuka dan sesiapa saja boleh dilantik oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri dulu ambil pegawai kerajaan dan diletakkan di PBT untuk memudahkan mereka ditukar jika tidak memberi prestasi baik," katanya.

Dalam pada itu, Ramli menafikan dakwaan dokumen sulit kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba dibawa keluar dari bangunan SUK kerana semua maklumat rahsia dan sulit milik kerajaan negeri telah direkodkan.

"Kerajaan memerintah akan duduk di bangunan ini untuk mentadbir negeri. Semua fail sulit direkodkan dan siapa yang bawa keluar fail ini akan direkodkan," katanya yang berterima kasih kepada pakatan pembangkang kerana memahami situasi itu.

No comments: