17 January 2008

Cuepacs syor bekal 2 pasang baju

Berita Harian

Oleh Amin Ridzuan Ishak

Pemberian batik ringankan beban kakitangan, tonjol imej unik jabatan diwakili

KUALA LUMPUR: Cuepacs mencadangkan semua jabatan atau agensi kerajaan mengambil inisiatif membekalkan sekurang-kurangnya dua pasang baju batik buatan Malaysia kepada setiap kakitangan tanpa mengira kedudukan bagi mengurangkan beban pekerja masing-masing.

Selain itu, pemberian baju batik kepada kakitangan masing-masing juga mampu membantu menonjolkan imej unik serta mewakili sesebuah jabatan atau agensi berdasarkan jenis batik dipakai kakitangan pada setiap Khamis.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pemberian baju batik kepada kakitangan awam harus dipertimbangkan oleh setiap ketua jabatan atau agensi kerajaan kerana kos untuk membeli pakaian sedemikian tinggi yang mungkin membebankan mereka.

Katanya, kos membeli baju batik berkualiti yang rata-ratanya bernilai RM100 ke atas sudah tentu akan 'mengorbankan' sedikit gaji kakitangan awam yang terpaksa membelinya berikutan arahan mewajibkan pemakaiannya pada setiap Khamis.

"Jadi apa salahnya jika jabatan atau agensi kerajaan membantu dengan membekalkan baju batik. Ia sudah tentu tidak mempunyai sebarang masalah kerana kami yakin ada peruntukan khusus untuk tujuan itu sama seperti perbelanjaan membeli pakaian seragam.

"Dua helai saya rasa sudah memadai kerana kalau sehelai saja tidak cukup berikutan pemakaian kerap (empat kali dalam masa sebulan) akan menjejaskan pakaian itu dan tidak cantik dilihat yang hanya menjejaskan imej baju batik itu sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan pemakaian batik setiap Khamis bagi pekerja lelaki menerusi Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2008 yang disiarkan di laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kelmarin.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata penguatkuasaan peraturan itu dilaksanakan bagi menyokong perkembangan serta pembangunan industri batik yang menjadi warisan dan identiti negara.

Bagaimanapun, arahan itu tidak terpakai kepada pegawai kerajaan yang dibekalkan pakaian seragam, pegawai yang menghadiri acara rasmi seperti persidangan antarabangsa atau perjumpaan dengan pelawat asing atau majlis yang menetapkan pemakaian pakaian lain.

Pemakaian baju batik oleh pegawai perkhidmatan awam pada hari pertama dan ke-15 setiap bulan diperkenalkan pada 30 Jun 2005.

Sambil menyambut baik cadangan itu, Omar bagaimanapun berkata, jika pembekalan pakaian tidak dapat dilakukan, kerajaan boleh mempertimbangkan memberi subsidi kepada kakitangan awam.

"Mungkin subsidi boleh diberikan dalam pelbagai cara iaitu dengan memberikan kain dan kos membuatnya ditanggung pekerja atau sebaliknya. Kami percaya, subsidi itu tidak akan membebankan kerajaan.

"Pada saya, jika ada subsidi beban membeli baju batik tidak terlalu dirasai kakitangan gred rendah," katanya.

Beliau berkata, Cuepacs juga mahu JPA menimbang memberi pengecualian memakai baju batik kepada pekerja 'kolar biru' yang memerlukan mereka bergerak dengan lasak.

No comments: