13 January 2008

“Saya belum terima cadangan CUEPACS”

Utusan Online

PUTRAJAYA 12 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau belum menerima sebarang cadangan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) berhubung bayaran sagu hati RM2,000 yang diminta Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk kakitangan awam.

Perdana Menteri berkata, setakat ini beliau hanya dimaklumkan bahawa wakil CUEPACS telah mengadakan pertemuan dengan KSN berhubung cadangan bayaran sagu hati tersebut.

‘‘Walaupun CUEPACS selalu minta kerajaan pertimbangkan macam-macam cadangan tetapi apa yang penting adalah kemampuan kerajaan untuk memenuhinya.

‘‘Cadangan itu belum dibawa kepada saya lagi walaupun CUEPACS ada mengadakan perjumpaan dengan KSN baru-baru ini dan saya ingat tidak perlu heboh perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga Pejabat Perdana Menteri di pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Pada 7 Januari lalu, Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, KSN, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan akan membawa cadangan mereka kepada Perdana Menteri berhubung bayaran sagu hati RM2,000 yang diminta oleh kakitangan awam.

Menuntut

Katanya, walaupun CUEPACS menuntut bayaran sagu hati sebanyak RM2,000 sebagai ganti bonus yang tidak dibayar pada tahun 2007, kesatuan sekerja itu masih bersedia menerima kadar lain yang difikirkan sesuai oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Abdullah meminta semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan menjadikan program hari keluarga sebagai satu acara tahunan yang tetap.

‘‘Ini kerana program sedemikian amat penting dalam menjalin dan memperkukuhkan tali persahabatan sesama kakitangan serta pegawai jabatan berkenaan.

‘‘Ia juga memberi peluang kepada kakitangan atau pegawai baru untuk berkenalan dan bermesra dengan mereka yang sedia ada,” katanya.

Program Hari Keluarga Pejabat Perdana Menteri yang diadakan di sini dihadiri oleh lebih 100 keluarga kakitangan dan pegawai.

Pelbagai acara sukaneka diadakan disertai golongan dewasa dan kanak-kanak bermula pukul 8 pagi.

Program tahunan itu turut diserikan dengan kehadiran menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin bersama isteri, Nori Abdullah serta tiga cucu Perdana Menteri iaitu Alya Badawi Kamaluddin, 11, Amira Badawi Kamaluddin, 9, dan Jibreil Ali Jamaluddin berusia empat bulan.

Selain itu, personaliti rancangan kanak-kanak popular, Along Bijak serta Angah dan Acik turut hadir memeriahkan program.

No comments: