17 January 2008

Tawar kepada yang cemerlang -- Surat 1

Utusan Online

SAYA rasa terpanggil untuk memberi pandangan berhubung tuntutan pihak CUEPACS untuk menaikkan had umur persaraan daripada 56 tahun kepada 60 tahun. Secara dasar saya amat bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana bagi saya, pengalaman amat bernilai dalam melakukan setiap tugas.

Namun begitu, kenaikan had umur persaraan tidak boleh diberi kepada semua kakitangan secara automatik. Ia perlulah berdasarkan rekod prestasi pegawai berkenaan. Jika tidak, kerajaan terpaksa menanggung pelbagai kerugian sama ada dalam bentuk kewangan mahupun produktiviti kakitangan awam.

Bukanlah niat saya untuk menafikan sumbangan dan pengorbanan golongan yang akan bersara tetapi faktor mutu perkhidmatan dan produktiviti haruslah diberi perhatian yang terperinci oleh kerajaan. Sebilangan kakitangan yang mencecah usia 50-an sudah tidak ambil peduli dengan mutu kerja dan sumbangan kepada jabatan. Ini berdasarkan pengalaman saya sebagai ketua cawangan untuk sebuah jabatan.

Oleh yang demikian, pelanjutan usia persaraan mestilah berdasarkan merit kerana ada dua jenis kumpulan dalam kakitangan awam ini iaitu kumpulan yang benar-benar ingin berbakti kepada negara dengan memberikan mutu perkhidmatan yang memuaskan dan ada kumpulan yang hanya menunggu setiap 25 haribulan untuk mendapatkan gaji tanpa mengira langsung sumbangan yang diberikan kepada jabatan. Usahlah pihak CUEPACS membela golongan seperti ini kerana ia menjadi barah kepada organisasi yang kita pimpin.

Kita juga perlu ingat saban tahun beribu-ribu graduan akan keluar dari universiti.

Jadi, apakah nasib mereka yang terdidik ini untuk berbakti kepada negara andai kata peluang mereka dinafikan dengan cara memanjangkan tempoh persaraan kakitangan yang tidak berproduktif ini? Jika ini berlaku maka reformasi dan revolusi dalam perkhidmatan awam menjadi lebih lambat dan ketinggalan dengan negara lain.

Usahlah meniru cara Singapura yang melanjutkan umur persaraan kakitangan awam mereka kerana cara kerja mereka amat efisien selain memerlukan tenaga manusia yang sentiasa tidak cukup untuk menggerakkan pertumbuhan pesat negara berkenaan.

Akhir sekali saya amat menyokong jika pihak kerajaan melanjutkan usia persaraan tetapi mekanisme untuk melaksanakannya mestilah teratur dan menguntungkan negara. Hanya yang terpilih dan benar-benar komited sahaja dibenarkan untuk dilanjutkan usia persaraan demi kecemerlangan mutu perkhidmatan awam negara.

– BUDAK DESA,

Kuching, Sarawak.

No comments: