14 December 2008

Ishak tidak patut merajuk kena tukar jabatan lain

Berita Harian

MERUJUK kepada tajuk berita 'Ishak Muhammad bersara awal' yang disiarkan Berita Harian kelmarin, saya berpendapat tidak wajar seorang penjawat awam menghebohkan (mungkin bukan atas permintaannya) persaraannya melalui media kerana ia boleh disalah tafsirkan.

Pakar komunikasi apabila membaca laporan berkenaan akan merumuskan bahawa beliau menggunakan media untuk menekan Jabatan Perkhidmatan Awam dan kerajaan supaya mengkaji semula kedudukannya di Jabatan Imigresen.

Memberi tekanan kepada kerajaan dengan dibantu orang politik dan media adalah satu tindakan tidak wajar dan tidak sihat jika kita ingin melihat perkhidmatan awam bersifat berkecuali dan profesional.

Saya mentafsirkan persaraan awal beliau sebagai 'orang merajuk' kerana ditukarkan ke jabatan lain yang kurang 'glamour'. Sebagai penjawat awam dan pegawai PTD, Datuk Ishak atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Sako perlu menerima kenyataan bahawa tiada siapapun yang sangat diperlukan.

Walaupun kita hebat menjalankan tugas tetapi bila sampai masa kita kena terima kenyataan bahawa pertukaran dan persaraan adalah perkara biasa dalam perkhidmatan awam.

Tidak dinafikan Pak Sako sudah menjalankan tugas dengan baik dan berkesan. Hubungan manusia dan media beliau adalah hebat. Beliau mempunyai sifat suka menolong, rajin dan sentiasa memberi senyuman kepada orang yang bermasalah. Ada ketikanya beliau tegas dan ada ketika berlembut serta bertimbang rasa.

Sebagai penjawat awam kanan, seseorang melalui banyak tekanan. Ia kerana dalam birokrasi kita hanya seorang daripada kumpulan anggota yang menggerakkan organisasi. Kita tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan kita hebat. Biarlah orang lain kata kita hebat dan itu lebih bermakna.

PESARA KERAJAAN,
Kuala Lumpur.

1 comment:

siraniep said...

Biorkan kerajaan nampak ... nie kalau bagus semua tukar macam kes isu balak di Melaka.

Kita banyak sangat berpolitik. Ada agenda lain dalam penukaran beliau (tekanan politik mungkin)

korek ... korek ... korek ... keluar lagi cerita lagi bagus