'Saya mahu tidur sepuas-puasnya
PUTRAJAYA 12 Dis. - "Saya mahu tidur sepuas-puasnya," kata Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamed yang akan bercuti selama dua minggu mulai esok sebelum memulakan persaraan awal berkuat kuasa 3 Januari ini.
Ishak yang lebih dikenali sebagai Pak Sako di kalangan wartawan berkata, beliau hanya akan berehat di Perak dan membantu isterinya berniaga di negeri itu.
Katanya, beliau tidak akan membawa ahli keluarga untuk melancong ke luar negara kerana kekurangan wang untuk berbuat demikian.
"Pertama sekali dalam tempoh dua minggu ini saya hendak tidur sebab saya memang kekurangan tidur sejak menjadi Pengarah Penguat Kuasa Imigresen lima tahun lepas.
"Anda cuba bayangkan, hari ini pasukan Helang Hitam (dari Imigresen) mahu lakukan serbuan, esok pasukan Pemburu dan lusa giliran polis. Saya kena menyertai semua operasi sehingga saya kekurangan tidur," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ishak sebelum ini dilaporkan memilih untuk bersara awal kerana tidak mahu berpindah ke jabatan kerajaan lain.
Ditanya kemungkinan kerajaan akan menolak permohonannya untuk bersara awal, Ishak berkata, beliau hanya akan membuat perancangan selanjutnya selepas kerajaan membuat keputusan mengenai statusnya.
"Bagilah saya tidur dahulu (cuti) dan lepas saya jaga (dari tidur) nanti, saya tengok keadaan macam mana," katanya.
Ditanya kemungkinan beliau akan berubah fikiran mengenai keputusannya untuk bersara awal, Ishak berkata, beliau tidak ingin bertukar ke jabatan kerajaan lain selain daripada Imigresen.
"Kalau saya tidak bersara, saya kena tukar ke jabatan lain dan saya akan kehilangan semangat untuk berkhidmat.
"Saya akan berkhidmat di jabatan baru dengan jiwa 50 peratus sahaja, lebih baik saya bersara daripada membazir duit kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada media massa yang membuat laporan mengenai Imigresen.
"Sumbangan wartawan dalam membantu meningkatkan imej Imigresen akan saya simpan dalam hati dan tidak akan lupa," katanya.
1 comment:
semoga Allah memberkati hidup Dato.
Post a Comment