15 December 2008

Cuepacs terus desak naik imbuhan rumah

Berita Harian

Permintaan selaras kemudahan dinikmati kumpulan pengurusan, profesional: Omar

KUALA LUMPUR: Cuepacs akan terus berjuang bagi mendapatkan kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) untuk kira-kira 900,000 kakitangan kumpulan sokongan satu dan dua selain penyelarasan elaun kos sara hidup (Cola) sebanyak RM300.

Presidennya, Omar Osman, berkata kerajaan wajar menaikkan ITP sejajar kenaikan elaun itu yang sudah dinikmati kumpulan pengurusan dan profesional dalam perkhidmatan awam sejak awal tahun ini.

Katanya, Cuepacs hanya meminta kenaikan yang agak kecil iaitu sebanyak RM50 menjadikan ITP kepada RM230 berbanding RM180 sekarang.

"Kita amat menaruh harapan kepada kerajaan supaya memberi pertimbangan adil dalam menaikkan ITP kepada kumpulan sokongan sebagaimana kenaikan yang dinikmati kumpulan pengurusan dan profesional sejak awal tahun ini.

"Elaun Cola pula ketika ini dibayar mengikut tempat tinggal iaitu bandar besar, bandar dan luar bandar dengan kadar elaun masing-masing RM300, RM200 dan RM100. Cuma kita minta kerajaan selaraskan elaun itu menjadikan semuanya sama iaitu RM300," katanya kepada Berita Harian.

Permintaan untuk kenaikan ITP dan elaun Cola itu adalah antara dua tuntutan Cuepacs yang belum lagi dipenuhi kerajaan sejak ia dibincang dengan Perdana Menteri, April lalu.

Bagaimanapun, kerajaan sudah memenuhi beberapa permintaan Cuepacs seperti kenaikan gaji, lanjutan umur bersara wajib kepada 58 tahun, pengubahsuaian sistem Penilaian Tahap Kecekapan dan terbaru pemberian bonus sebulan gaji atau maksimum RM1,000 yang dibayar dua kali iaitu pada Oktober lalu dan bulan ini.

Osman berkata, pihaknya akan terus berunding dengan kerajaan mengenai ITP dan Cola, sesuai dengan peningkatan kos sara hidup sekarang.

Beliau berkata, berdasarkan beberapa keputusan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak setahun lalu, bermula pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam sehinggalah kepada kelulusan pemberian bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 baru-baru ini, Cuepacs percaya kerajaan sedia memberi pertimbangan yang adil.

No comments: