Puspakom guna khidmat Rela
Berita Harian
Pastikan operasi berjalan lancar tanpa sebarang gangguan orang tengah
KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menempatkan anggota Rela yang bertugas selama 24 jam di pusat pemeriksaan kenderaannya bagi mencegah kemasukan perantara atau 'runner' yang boleh mengganggu operasi mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Datuk Salamat Wahit, berkata setakat ini, anggota Rela sudah memulakan tugas mereka di lima pusat pemeriksaan kenderaan Puspakom yang utama iaitu di Wangsa Maju di ibu kota; Padang Jawa, Selangor, George Town, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak dan Johor Bahru, Johor.
Beliau berkata, selain memantau pergerakan 'runner', anggota Rela juga berperanan menjaga keselamatan pusat pemeriksaan itu dan memantau aliran trafik yang memasuki Puspakom bagi tujuan pemeriksaan.
"Puspakom meminta bantuan Rela bagi memastikan operasi pusat pemeriksaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan 'orang tengah' dan membolehkan pelanggan berunding terus di kaunter Puspakom.
"Puspakom amat berpuas hati dengan kerja yang dilakukan oleh anggota Rela dan sebelum memperluaskan khidmat mereka ke seluruh negara, kita perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan terlebih dulu.
"Puspakom juga perlu mengenal pasti beberapa perkara seperti jumlah anggota Rela yang diperlukan di sesuatu pusat pemeriksaan kenderaan sebelum memaklumkan kehendak Puspakom kepada pihak berkuasa," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni ketika dihubungi Berita Harian, semalam berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Puspakom bagi memastikan operasi agensi itu berjalan lancar.
"Jumlah anggota Rela yang diperlukan, bagaimanapun bergantung kepada keperluan Puspakom. Kita tiada halangan untuk bekerjasama dengan mereka (Puspakom)," katanya.
"Saya difahamkan seramai 15 anggota Rela ditempatkan di pusat pemeriksaan Puspakom Padang Jawa dan Wangsa Maju untuk tempoh satu bulan. Mereka ini bertugas selama 24 jam dan memastikan tidak berlaku pergaduhan dalam pusat pemeriksaan kenderaan," katanya.
No comments:
Post a Comment