11 September 2008

Kerajaan Lulus Kenaikan Pangkat 2,787 Warga Pendidik

KUALA KANGSAR, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan meluluskan kenaikan pangkat 2,787 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang berkhidmat di bawah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ketika mengumumkan demikian, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata cadangan yang dikemukakan oleh kementeriannya itu diluluskan dalam Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 25 Ogos lepas.

"Kelulusan fasa pertama ini akan melibatkan kenaikan pangkat pelbagai gred seramai 2,787 orang pegawai yang berkhidmat di BPG dan pensyarah yang bertugas di kesemua 27 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) serta Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC)," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan sempena majlis berbuka puasa Raja Muda Perak bersama pengetua dan guru besar negeri Perak di Istana Iskandariah di sini hari Khamis.

Daripada jumlah itu, 793 orang PPPS Gred DG41 akan dinaikkan pangkat ke Gred DG44, 1,540 orang PPPS Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48, 449 orang PPPS Gred DG48 dinaikkan ke Gred DG52 dan lima orang PPPS Gred DG52 pula dilantik ke Gred DG54, katanya.

Hishammuddin berkata senarai nama pegawai dan pensyarah yang terlibat telahpun diperakukan oleh BPG untuk ke peringkat tapisan keutuhan dan surat pelantikan akan dikeluarkan oleh Bahagian Sumber Manusia dalam masa terdekat.

Beliau berkata mereka yang terlibat dalam proses kenaikan pangkat itu akan menerima kenaikan tangga gaji dan elaun.

"Pada masa yang sama, BPG juga sedang memproses senarai cadangan berikutnya untuk proses kenaikan pangkat fasa kedua," katanya.

Beliau berkata kelulusan tersebut merupakan satu berita baik yang amat dinanti-nantikan oleh warga pendidik khususnya di IPG.

Katanya ia merupakan satu perkembangan penting dan amat signifikan dalam sejarah perkhidmatan perguruan khususnya dalam bidang latihan keguruan.

"Selain daripada mengiktiraf peranan tenaga pengajar sedia ada yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang, strategi ini juga bertujuan untuk menarik para guru yang mempunyai kelayakan, kemahiran dan pengalaman yang terbaik untuk berkhidmat di IPG," katanya.

-- BERNAMA

No comments: