Ada Jabatan Hanya Sedapkan Telinga Menteri Menerusi Laporan Pencapaian, Kata Pengerusi PAC
Bernama
PADANG BESAR, 8 Sept (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berkata terdapat jabatan dan agensi tertentu yang menyediakan laporan pencapaian program hanya untuk menyedapkan hati menteri sedangkan prestasinya tidak seberapa.
Menurutnya laporan yang disediakan memang menarik dan membanggakan menteri tetapi jika tinjauan sebenar dibuat, ia jelas menampakkan pelbagai kelemahan.
Beliau berkata program hala cara baru yang diperkenal pada 1985 di Kampung Tersusun Padang Besar adalah antara contoh kegagalan kerana 114 keluarga yang terbabit dalam program itu bukan sahaja tidak dapat menambah pendapatan tetapi ada yang menjadi lebih miskin.
"Dulu mereka hidup dengan selesa, sekarang banyak yang terpaksa menjadi penerima bantuan kebajikan. Ada juga yang jadi peserta PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin)," kata Azmi ketika mengiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed melawat kampung itu hari ini.
Namun, kata Azmi, ada jabatan dan agensi yang terbabit dengan program itu telah melaporkan sesuatu yang hanya sedap didengar oleh menteri.
Azmi, yang juga bekas menteri kabinet, berharap menteri bukan sekadar menerima laporan yang dibentangkan oleh jabatan dan agensi di bawah kementerian masing-masing tetapi turut meninjau sendiri keadaan peserta projek terbabit.
"Saya tak kata semua jabatan dan agensi buat laporan tidak betul tetapi ada laporan yang didapati tidak sama dengan apa yang sebenar," kata Azmi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar.
Katanya beliau tidak menyalahkan 100 peratus pegawai yang menyediakan laporan kerana ada pegawai sering bertukar dan mereka terpengaruh dengan laporan pegawai terdahulu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment