14 August 2008

Isu pangkat tentera selesai September

Berita Harian

KEMENTERIAN Pertahanan ingin merujuk aduan mengenai 'Status Pegawai Tauliah Jangka Pendek (TJP) Pengambilan Ke- 66, 67 dan 68' disiarkan dalam ruangan ini 17 Julai lalu.

Markas Tentera Darat (MTD) mengambil tindakan berikutan keputusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) pada 25 Mac lalu yang memutuskan kes mengenai pelarasan pangkat, kekananan dan gaji pegawai Tauliah Jangka Pendek (TJP) Pengambilan Ke- 66, 67 dan 68.

Bagaimanapun, pelaksanaan keputusan yang dibuat MAT tidaklah semudah dibayangkan kerana ia membabitkan semakan ke atas rekod perkhidmatan setiap individu berkenaan.

Ini perlu kerana sepanjang tempoh itu berlaku beberapa perubahan ke atas perkhidmatan mereka seperti kenaikan pangkat, pergerakan gaji serta kes tata tertib menyebabkan kehilangan taraf kekananan atau diberhentikan daripada perkhidmatan.

Semua faktor berkenaan perlu diperhalusi bagi mengelak kesilapan yang boleh menyebabkan tidak puas hati atau tuntutan pegawai terbabit pada masa depan.

Selain itu, sokongan pegawai atasan serta kekosongan jawatan masih diperlukan bagi kes kenaikan pangkat.

Dengan mengambil kira kerumitan terhadap pelaksanaan keputusan itu, MTD ketika sesi penerangan dengan semua pegawai terbabit memberitahu bahawa masalah berkenaan dijangka diselesaikan sekitar Ogos atau September ini.

Sehubungan itu, dakwaan mereka tidak dimaklumkan perkara itu tidak benar.

Untuk makluman, tindakan ke atas isu itu bermula sejak pertengahan 2006 dan beberapa siri perbincangan dilakukan membabitkan beberapa agensi.

Masa yang diambil agak lama kerana membabitkan skim perkhidmatan kerana pegawai yang terbabit tidak termasuk dalam skim perkhidmatan yang mentauliahkan Pegawai Kadet dengan pangkat leftenan.

Bagaimanapun, atas sikap prihatin dan konsep kesamarataan, MTD berusaha mendapatkan kelulusan agar Pegawai TJP Pengambilan 66, 67 dan 68 diterima masuk ke dalam Skim Perkhidmatan yang lebih baik.

Selepas berusaha hampir tiga tahun bagi mendapatkan pelarasan ini, MTD berharap pegawai berkenaan bersabar kerana semua proses yang berkaitan berada di peringkat akhir pelaksanaan.

CAWANGAN PERHUBUNGAN AWAM,
Kementerian Pertahanan.

No comments: