03 April 2008

Cuepacs ugut pulau acara k'jaan

Apr 2, 08 6:36pm

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan memboikot sambutan Hari Pekerja dan perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam bulan depan jika kerajaan gagal memberi kata putus terhadap lima tuntutan kesatuan itu, selewat-lewatnya pada 29 Mei.

Sambutan Hari Pekerja anjuran Kementerian Sumber Manusia akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 3 Mei, manakala Hari Pekerja Sektor Awam disambut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 Mei.

Bagaimanapun presidennya Omar Osman berkata Cuepacs akan menganjurkan sambutan Hari Pekerja berasingan di Johor Bahru pada 1 Mei yang dijangka dihadiri 1,000 wakil kesatuan dari seluruh negara.

budget belanjawan negara workersLima tuntutan Cuepacs: bayaran honorarium RM2,000 tanpa mengira pangkat, kenaikan imbuhan tetap perumahan RM180 hingga RM230, penambahbaikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), memberikan semula elaun kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua yang ditarik balik pada Februari lalu dan melanjutkan umur persaraan wajib dari 56 tahun kepada 60 tahun.

Cuepacs akan mempertimbangkan semula boikot jika kerajaan mahu berunding mengenai tuntutan tersebut menjelang akhir Mei, kata Omar kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Cuepacs di Sungkai, Perak hari ini.

Beliau menafikan tindakan pemulauan itu sebagai satu ugutan kepada kerajaan, sebaliknya menegaskan bahawa keputusan yang berat tetapi drastik itu "terpaksa diambil" demi kebaikan semua pekerja sektor awam khasnya bagi Kumpulan Sokongan Satu dan Dua.

Agensi berita Bernama memetik Omar sebagai berkata, Cuepacs mahu kelima-lima tuntutan tersebut dilaksanakan berdasarkan keputusan yang tepat sebagaimana perbincangan yang telah diadakan antara kesatuan itu dan pihak kerajaan sejak Ogos lalu.

Hantar surat rasmi

Beliau, kecewa dengan kelewatan kerajaan membuat keputusan, menegaskan bahawa kerajaan telah gagal dari segi sistem penyampaiannya kerana masih tidak memutuskan tuntutan ini walaupun permohonan Cuepacs itu melebihi tempoh enam bulan.

pak lah abdullah ahmad badawi putrajaya malaysiaMenurutnya, mesyuarat Majlis Cuepacs turut memutuskan untuk menghantar sepucuk surat rasmi kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menyatakan kekesalan kesatuan itu terhadap tindakan beliau yang dilaporkan "segan" membincangkan permohonan kesatuan itu untuk mendapatkan honorarium RM2,000 dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika menjawab soalan penonton dalam program 'Bicarawara: Bersama Ketua Setiausaha Negara" di RTM1 Februari lalu, Mohd Sidek berkata, beliau belum berbincang dengan perdana menteri mengenai pembayaran honorarium itu kerana segan untuk meminta kerajaan membuat bayaran itu selepas kenaikan gaji yang besar kepada kakitangan awam.

Omar juga berkata, mesyuarat majlis itu turut memutuskan supaya Cuepacs mengadakan sesi penjelasan di setiap jabatan di seluruh negara mengenai tuntutan ini mulai minggu depan.

Sementara itu, beliau juga menasihat semua kakitangan sektor awam di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor - yang kini ditadbir pakatan pembangkang - agar tidak bimbang dan memaklumkan terus kepada Cuepacs jika ada diskriminasi ataupun unsur ketidakadilan di negeri-negeri tersebut.

Beliau berharap semua anggota sektor awam di negeri tersebut menjalankan tugas seperti biasa dan menerima arahan yang tidak bercanggah dengan perkhidmatan awam.

Katanya Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kesatuan di semua negeri berkenaan yang dijangka diadakan pada Jun ini.

2 comments:

Anonymous said...

Perkataan ugut dan perbuatan memboikot mungkin sekadar luahan hati ahli-ahli Majlis Cuepacs yang sudah bosan? gundah gulana? dengan sikap pihak kerajaan yang mungkin sengaja mengambil mudah perkara-perkara yang diutarakan oleh Cuepacs yang mewakilli suara 1.2 juta pekerja awam di Malaysia.

Kesanggupan PM untuk menegur kepimpinan Cuepacs berhubung isu ini adalah petanda pihak kerajaan masih prihatin dan perkara-perkara yang dibawa oleh Cuepacs masih relevan kepada penjawat awam di Malaysia.

Cuepacs masih boleh berperanan sebagai waadah pihak pekerja selagimana kepimpinan Cuepacs menunjukkan komitmen dan sentiasa bersedia untuk memartabatkan pihak pekerja di Malaysia.

Kepada Presiden Cuepacs, syabas. Cuma diharapkan, Setiausaha Agung Cuepacs akan melihat perjuangan untuk pekerja lebih penting daripada perjuangan peribadi.

kastam said...

Nampaknya kerajaan masih perihatin, cuma mungkin Ketua Kerajaan sekarang harus menyelesaikan masalah negara.Mungkinkah permintaan CUEPACs akan dilayan selepas ini..