03 April 2008

Polisi isytihar harta -- Perak turut wajibkan ketua jabatan

Utusan Online

IPOH 2 April – Semua wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan di negeri ini diwajibkan mengisytiharkan harta mereka kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pengisytiharan pemilikan harta itu dibuat secara berperingkat dengan didahului beliau sendiri, anggota Exco kerajaan negeri dan diikuti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kanan kerajaan.

‘‘Kita mewajibkan wakil rakyat dan ketua jabatan mengisytiharkan harta masing-masing kerana mahu mereka bersikap telus seterusnya menunjukkan teladan baik kepada rakyat.

‘‘Pengisytiharan harta merupakan satu daripada lima prinsip bekerja yang akan diamalkan oleh kerajaan negeri yang baru dibentuk ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat berhubung bidang tugas Exco daripada ketua-ketua jabatan di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Taklimat yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 2 petang itu dihadiri oleh semua Exco kerajaan negeri termasuk Mohammad Nizar.

Selain mengisytiharkan harta, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri turut memutuskan bahawa satu pertiga daripada ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilantik mestilah daripada kalangan bukan ahli politik iaitu golongan akademik dan profesional.

Seterusnya kata beliau, semua tender untuk projek di bawah kerajaan negeri pula mesti dibuat secara terbuka dengan keutamaan diberikan kepada rakyat tempatan di negeri ini.

Katanya, satu Lembaga Panel Aduan Rakyat turut ditubuhkan untuk dijadikan saluran kepada rakyat menyampaikan aduan, rintihan atau rasa tidak puas hati mereka terhadap sebarang isu dan aduan terhadap ADUN.

‘‘Lembaga Aduan Rakyat ditubuhkan supaya rakyat boleh menyampaikan aduan mereka berhubung apa sahaja isu untuk pengetahuan kerajaan negeri seterusnya membolehkan Menteri Besar dan wakil rakyat mengkaji semula perkhidmatan mereka,” jelasnya.

No comments: