Cuepacs cadang tuntut Honorarium berganda
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang membuat tuntutan berganda bagi bayaran honorarium kakitangan awam jika kerajaan tidak memberikannya dalam waktu terdekat.
Sumber Cuepacs berkata, tuntutan berganda itu sebagai bayaran bagi 2007 dan 2008 dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis kongres Cuepacs di Trolak, Perak, esok.
Cuepacs sedang mengadakan bengkel Pemantapan Kepimpinan dan Pengurusan Cuepacs Kebangsaan di Trolak, sejak semalam.
Dalam tuntutan Cuepacs tahun lalu, ia meminta kerajaan memberikan honorarium RM2,000 kepada semua kakitangan awam tanpa mengira pangkat sebagai ganti bonus tahunan yang tidak diberikan tahun lalu.
“Kerajaan seakan bermain tarik tali dengan Cuepacs mengenai perkara ini, sekejap kata ada, dalam masa pada itu berdiam diri dan membiarkan kami tertunggu-tunggu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata, Cuepacs menunggu sehingga semalam mengharapkan kerajaan akan memberikan honorarium itu terutama sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu, tetapi tiada sebarang tanda yang kakitangan awam akan menerimanya.
“Berikutan kegagalan itu, Cuepacs akan membincangkan isu itu secara serius esok. Kami tidak menolak kemungkinan akan meminta kerajaan membayar sekali ganda daripada permintaan asal,” katanya.
Turut akan dibincangkan ialah cadangan memansuhkan ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi kakitangan awam.
Sumber itu berkata, Cuepacs tetap bertegas mahu PTK dihentikan kerana Cuepacs percaya ia bukan saja membuang masa dan tenaga kakitangan terbabit untuk menduduki peperiksaan, tetapi ia juga tidak relevan dengan tuntutan kerja semasa.
Cuepacs lebih bersetuju jika ujian itu digantikan dengan kursus khas yang boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti pekerja, katanya.
No comments:
Post a Comment