20 January 2008

Tiada reaksi pegawai kerajaan

Berita Harian

Oleh Mohd Azis Ngah

KUALA LUMPUR: Pegawai Kerajaan Kumpulan A didapati bersikap dingin menjayakan kempen mengesan kesalahan trafik yang diaktifkan semula Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Oktober lalu

Sejak kuasa 250,000 pegawai itu diaktifkan membantu polis memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas, maklum balas diterima polis trafik mengecewakan kerana jumlahnya terlalu kecil.

Bahkan, sebaik saja tamat kempen Ops Sikap XIII selama 15 hari sempena Aidilfitri bermula 7 Oktober lalu hingga sekarang, langsung tiada sebarang maklum balas diberi kepada polis trafik.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Hamza Taib mengakui wujudnya senario kurang memberangsangkan itu dan berkata, ia mungkin berpunca daripada sikap ‘selamatkan diri sendiri’ serta tidak mahu ke mahkamah jika laporan mereka dibicarakan.

“Perkara seperti ini sebenarnya berpunca daripada sikap masyarakat kita sendiri, tidak peduli apa berlaku.

“Apabila kita minta bantuan Pegawai Kerajaan Kumpulan A, ia lebih mudah kerana mereka mempunyai kredibiliti. Mereka juga mudah dihubungi jika kita memerlukan maklumat berkaitan atau jika kes itu dibicarakan di mahkamah,” katanya kepada Berita Minggu.

Melalui kuasa yang diaktifkan, Pegawai Kerajaan Kumpulan A diminta mencatat maklumat mengenai nombor pendaftaran, jenis serta warna kenderaan, masa dan tempat kesalahan dilakukan bagi membolehkan polis trafik mengeluarkan saman maksimum.

Mereka perlu mencatat kesalahan nyata atau yang tidak boleh dipertikaikan, seperti memotong garisan berkembar dan barisan. Kuasa itu tidak boleh digunakan bagi kesalahan had laju kerana penentuan kelajuan memerlukan alat tertentu mengukurnya supaya tidak timbul masalah membuktikannya di mahkamah.

Kesalahan dicatat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Malaysia (MCC) Bukit Aman di talian 03-22626555/7555, Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman yang beroperasi 24 jam (03-27184444/Fax-03-27184440), Rakan Cop dan bilik gerakan kontinjen negeri.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Omar Osman meminta kerajaan menyediakan garis panduan jelas kepada Pegawai Kerajaan Kumpulan A supaya hak mereka terjamin serta dilindungi termasuk kemungkinan mereka diancam pesalah trafik.

No comments: