21 January 2008

Permohonan Cuepacs masih diteliti

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menolak permohonan Cuepacs untuk melanjutkan umur bersara wajib kakitangan awam daripada 56 tahun kepada 60 tahun, kata Presidennya, Omar Osman.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Tan Sri Mohd Sidek Hassan menjelaskan kepada Cuepacs permohonan itu sedang dalam perhatian kerajaan.

“Saya terkejut dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Abdul Rahman Suliman kerajaan tidak bersedia memenuhi cadangan itu.

“Ketika pertemuan Majlis Tertinggi Cuepacs diketuai saya dengan Mohd Sidek di pejabatnya di Putrajaya pada 7 Januari lalu, perkara itu turut dibangkitkan dan beliau menyatakan perkara itu dalam perhatian kerajaan dan tidak dinyatakan ia ditolak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, Abdul Rahman berkata, kerajaan tidak bercadang melanjutkan umur persaraan kakitangan awam secara keseluruhannya daripada 56 kepada 60 tahun, sebaliknya lanjutan perkhidmatan secara kontrak satu atau dua tahun bagi jawatan kritikal.

Katanya, jika umur persaraan dilanjutkan untuk 1.2 juta kakitangan awam, ia akan membawa masalah kerana ada kakitangan tidak memberi perkhidmatan terbaik pada peringkat umur itu, tetapi terus bertugas.

Ditanya dakwaan ia menyekat peluang pekerjaan baru dan kenaikan pangkat, Omar berkata pandangan itu nyatakan pihak berfikiran sempit dan tidak menghargai pengalaman kakitangan awam.

Katanya, sebenarnya dalam konteks perkhidmatan awam, negara maju sudah lama mengamalkan umur bersara wajib sehingga 60 tahun termasuk negara jiran Singapura.

“Pengalaman seseorang kakitangan awam tidak boleh diperoleh dalam masa singkat apa lagi jika masih mampu memberi sumbangan lebih baik kepada tugas masing-masing,” katanya.

Mengenai permintaan sagu hati RM2,000, beliau berkata kerajaan hanya menanggung kira-kira RM2.4 bilion jika bersetuju membayar maksimum RM2,000 kepada setiap kakitangan awam yang membabitkan 1.2 juta orang.

No comments: