25 January 2008

Bukan PTD boleh isi jawatan utama

Berita Harian

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan sistem kemasukan pelbagai dalam pelantikan jawatan pada semua peringkat, termasuk jawatan kanan dan utama, bagi menarik serta mengekalkan kakitangan terbaik dalam perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri memberi contoh pelantikan bagi jawatan utama yang kini diisi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), akan turut dibuka kepada anggota perkhidmatan awam lain seperti pegawai perkhidmatan teknikal, perguruan, tentera dan polis yang berkelayakan.

"Pelaksanaan sistem ini sedang diambil tindakan. Tidak lama lagi akan dikeluarkan pekeliling supaya sumber bakat untuk dipertimbangkan akan menjadi lebih besar.

"Ini selaras hasrat kita mengambil bakat terbaik untuk perkhidmatan awam," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Jubli Emas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Najib juga berkata, kerajaan akan menimbang memberi biasiswa kepada calon bukan Melayu untuk mengikuti pengajian di universiti awam tempatan bagi menggalakkan golongan itu menyertai perkhidmatan awam sejajar matlamat mempelbagaikan penyertaan pelbagai etnik.

Bagaimanapun, calon bukan Melayu tetap perlu melalui proses temu duga yang diwajibkan kepada semua pemohon bagi memastikan hanya yang berkelayakan diterima bekerja, sekali gus menjaga standard perkhidmatan awam.

"Kita harap mereka lebih berminat dan lebih yakin memohon untuk berkhidmat dalam kerajaan," katanya sambil menambah kerajaan tidak menetapkan kuota pengambilan mengikut kaum.

Ditanya apakah faktor gaji menyebabkan kalangan bakat terbaik dan bukan Melayu kurang berminat menyertai perkhidmatan awam, Najib berkata, kerajaan hanya dapat menawarkan apa yang termampu.

Bagaimanapun, permohonan untuk menyertai perkhidmatan awam meningkat sejak enam bulan lalu apabila kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam.

"Seperti yang kita tahu, ia adalah satu lonjakan yang besar dari segi pendapatan atau pakej perkhidmatan awam," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib meminta SPA membuat kajian dan perancangan menyeluruh berhubung pembangunan modal insan bagi keperluan perkhidmatan awam untuk 50 tahun akan datang.

SPA mesti memperincikan keseluruhan rantaian pembangunan modal insan, termasuk penentuan bakat dan kepakaran baru yang diperlukan, pelan latihan bersepadu, penelitian semula skim perkhidmatan dan strategi pengambilan serta pelantikan yang lebih kreatif dan inovatif.

"Tindakan proaktif dalam bentuk kajian itu pasti dapat membantu kerajaan melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang lebih mencabar dan kompleks dengan lebih berkesan lagi," katanya.

Najib berkata, kajian itu juga dapat membantu institusi pengajian tinggi awam dan swasta supaya lebih bersedia dalam menyediakan graduan yang dapat memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

"Ini akan mengelak berlakunya lambakan graduan menganggur disebabkan kelulusan akademik mereka tidak memenuhi keperluan pasaran kerja," katanya.

No comments: