23 January 2008

Syarat kenaikan pangkat tak adil

Berita Harian

SAYA tertarik dan menyokong pendapat ‘Fariz Ijaz’ dan ‘Tagih Saksama’ seperti disiarkan dalam ruang ini baru-baru ini mengenai hak kenaikan pangkat Pegawai Gred 17 perlu dikaji semula.

Melalui Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diperkenalkan pada 2002, kerajaan mensyaratkan seseorang pegawai awam perlu melepasi tahap keupayaan atau lulus sekurang-kurangnya tahap tiga peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi membolehkan pegawai itu dipertimbangkan bagi kenaikan gred.

Bagaimanapun syarat lulus PTK kurang diberi perhatian ketika mengambil kira urusan kenaikan pangkat tetapi ia lebih kepada kekananan seseorang pegawai. Sebagai contoh, seseorang pegawai awam disyaratkan perlu berkhidmat sehingga 15 tahun dalam sesuatu gred, baru layak untuk memohon kenaikan pangkat.

Saya rasa tempoh itu terlalu lama. Ia tidak adil dan bertentangan dengan dasar kerajaan yang diperjuangkan Cuepacs, iaitu peluang kenaikan pangkat berdasarkan prestasi dan kecekapan.

Bayangkan betapa kecewanya seseorang pegawai yang lulus PTK dengan Aras 4 iaitu Melepasi Tahap Kecekapan pada Aras Cemerlang tetapi tidak mendapat peluang kenaikan pangkat disebabkan belum mencapai tempoh 15 tahun berkhidmat.

Saya berharap syarat kenaikan pangkat seperti disyaratkan melalui SSM iaitu seseorang pegawai boleh dipertimbang ke gred lebih tinggi berdasarkan lulus PTK dan disahkan dalam perkhidmatan serta menunjukkan prestasi memuaskan, perlu diguna pakai sepenuhnya dalam urusan kenaikan pangkat.

Ini bagi menjamin keadilan kepada setiap pegawai yang sentiasa berusaha dan tidak perlu menunggu 15 tahun berkhidmat.Contohi jabatan kerajaan Persekutuan yang mensyaratkan hanya lima tahun berkhidmat untuk layak memohon kenaikan pangkat.



TERKILAN PAHANG,

Kuantan, Pahang.

No comments: