Bangunan lembaga atom bocor
Berita Harian
DENGKIL: Hampir seluruh bangunan baru dua tingkat bernilai RM30 juta yang menempatkan pejabat Lembaga Pelesenan Tenaga Atom di Dengkil, dekat sini kelmarin mengalami kebocoran tidak sampai dua bulan diduduki.
Limpahan air dari bumbung bangunan itu ke tingkat bawah menyebabkan beberapa panel siling runtuh dan sekurang-kurangnya empat komputer rosak
Seorang pegawai yang enggan dikenali berkata beliau terkejut mendapati ruang pejabat digenangi air apabila tiba jam 7.30 pagi semalam.
"Pada mulanya, saya fikir orang terlupa menutup paip sinki dalam tandas tetapi apabila diperiksa saya melihat beberapa keping siling berselerakan atas lantai yang dipenuhi air," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Bangunan itu adalah antara tiga blok yang menempatkan bahagian penguatkuasa lembaga itu dan rekod mengenai syarikat multi nasional yang terbabit dalam aktiviti nuklear dan bahan radioaktif.
Sementara itu, Ketua Lembaga Pengarahnya, Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan, berkata kejadian mungkin disebabkan saluran palung bangunan itu tersumbat.
No comments:
Post a Comment