24 September 2007

Galak pegawai kerajaan tulis memoir selepas bersara

Utusan Online

Oleh: ROOSFA HASHIM

BARU-BARU ini penulis diundang menyampaikan ucapan tentang penulisan memoir kepada pegawai kanan kerajaan yang bakal bersara. Ini satu langkah tawaran paling baik kepada pegawai kanan sektor awam yang akan bersara. Meneliti senarai nama mereka yang menghadiri kursus dengan pelbagai gelaran kebesaran jelaslah kesemua mereka ini telah lama berkhidmat, masak tentang segala selok- belok pentadbiran, kaya dengan pengalaman dan mahir pula dalam memahami segala dasar kerajaan.

Jika mereka menulis memoir, tentu kita semua dan pegawai muda dalam sektor awam dapat memanfaatkan pengalaman mereka ini.

Memoir atau autobiografi adalah karya yang merakamkan peristiwa yang melingkari kehidupan penulisnya. Sebuah memoir mestilah berusaha menyulam pengalaman penulisnya dengan peristiwa besar dan bermakna kepada masyarakat, bangsa dan negara.

Memoir yang baik juga terpancar pada ciri dan sifat penulisnya sebagai tokoh yang dirakam dan seharusnya mempunyai kedudukan tertentu dalam negara, bangsa, kerjaya atau kampung.

Memoir, selalunya memilih beberapa potong daripada bahagian penting dan bermakna dalam kehidupan seseorang dengan penulisnya memberikan tafsiran terhadap peristiwa yang diangkat dalam memoirnya.

Penulisan memoir dan biografi bukanlah suatu tradisi yang baru dan asing di negara ini. Konsep penceritaan riwayat hidup atau biografi memang telah wujud dalam minda masyarakat Melayu sejak zaman tradisi lisan. Justeru, kita kaya dengan pelbagai versi kisah Pak Pandir dan Mak Andeh, Lebai Malang, Badang, Awang Kenit, Mat Jenin, Pak Kadok dan banyak lagi.

Dalam masyarakat lampau juga, tulisan sejarah lebih terikat kepada istana. Maka, penulisan biografi muncul dalam bentuk pelbagai hikayat dan syair misalnya Hikayat Hang Tuah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Siti Zubaidah dan Hikayat Abdullah. Pegawai kolonial British kemudian menerbitkan memoir masing-masing.

Antaranya termasuklah Reminiscenses of an Indian Official (O. Cavenagh 1884) dan About Others and Myself, 1845-1920 (Sir A.E.H Anson 1920). Victor Purcell menghasilkan The Memoirs of a Malayan Official (Cassell 1965), R.O. Winstedt menerbitkan Malayan Memoirs (1916), dan Start from Alif: Count from One (Oxford 1969) dan sebuah memoir berjudul Footprints in Malaya oleh Sir Frank Swettenham (1942).

*Menerbitkan

G.E.D. Lewis, seorang pegawai kolonial British yang berkhidmat dalam Malayan Education Service antara tahun 1938-63 dan akhirnya menjadi Pengetua Victoria Institution menerbitkan Out East in Malay Peninsular (Fajar Bakti 1991). Manakala peguam, profesor dan penggubal undang- undang di beberapa negara Komanwel termasuk Malaysia R.H. Hickling menerbitkan Memoir of a Weyward Lawyer manakala Mubin Sheppard menulis Taman Budiman: Memoir of An Unthordox Civil Servant. Bahkan, pegawai tentera Jepun pun sempat menerbitkan pengalaman ketika menjajah kita misalnya Takao Fusayama yang menerbitkan Memoir of Takao Fusayama: A Japanese Soldier in Malaya & Sumatera. Judul-judul ini hanyalah sebahagian daripada sekian banyak memoir dan autobiografi yang telah mereka hasilkan.

Menteri Kabinet dan Menteri Besar zaman awal juga menerbitkan memoir mereka misalnya Tan Sri Datuk Dr. Mohamad Said menghasilkan Memoirs of a Menteri Besar, manakala Datuk Mahmud bin Mat menerbitkan Tinggal Kenangan. Aziz Ishak, bekas Menteri Pertanian pada zaman Tunku menerbitkan Special Guest dan versi Melayu terbit dengan judul Tamu Istimewa.

*Memoir Golongan Kiri

Ramai pemimpin dan tokoh gerakan kiri telah pun menerbitkan memoir masing-masing sejak lama dulu. Antaranya termasuklah Ahmad Boestamam, Pak Sako, Mustapha Hussein, A. Samad Ismail dan Said Zahari. Bahkan, hampir kesemua pemimpin tertinggi Rejimen Kesepuluh, cabang Melayu dalam Parti Komunis Malaya telah menghasilkan memoir masing-masing. Selain Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah C.D dan isterinya Suriani Abdullah, ketua propagandanya Ibrahim Chik - setiap mereka telah menerbitkan memoir masing-masing.

*Memoir Diplomat

Ramai juga diplomat kita yang menghasilkan memoir, antaranya Mahayuddin Abdul Rahman menerbitkan A Malaysian Diplomat’s Diary, Nordin Yusof menulis Little Sandhurst: A Military Love Affair, Mokhtar Selat menerbitkan Tebusan Tupac Amaru: Pengalaman Duta Malaysia di Peru, manakala Datuk Yusof Hashim menulis From Atlantic to Pacific: Memoir of a Diplomat.

Memoir Mahayuddin Abdul Rahman, A Malaysian Diplomat‘s Diary, adalah catatan peribadi diplomat Malaysia di Addis Ababa, Habsyah. Apa yang beliau cuba tekankan ialah, seorang diplomat jangan hanya bermimpi untuk menghadapi kesenangan di bandar raya besar seperti London, Paris, Tokyo dan Washington yang menyediakan semua keperluan dan keinginan mereka.

Diplomat muda juga mesti mempersiapkan diri untuk berada di tempat yang tidak selesa bahkan mungkin nyawa dan keselamatan mereka terancam sebagaimana yang dipaparkan dalam memoir Mokhtar Selat. Hal yang sama dibawa oleh Datuk Yusof Hashim yang antara lain menceritakan jerih payah beliau ‘bersilat’ dengan tikus, ketika di Vietnam.

Beberapa pegawai kanan kerajaan juga telah menerbitkan memoir masing-masing misalnya Datuk Abang Yusuf Puteh dengan Little Footsteps, Tan Sri Ramon Navaratnam menerbitkan My Life and Times: A Memoir. Namun demikian, sekiranya kita bandingkan memoir yang terbit dari tangan pegawai kolonial British, daripada tokoh gerakan kiri, artis dan diplomat, dapatlah dikatakan bahawa memoir daripada tulisan pegawai kanan perkhidmatan awam amat kecil jumlahnya walaupun jumlah mereka ramai dan mereka mempunyai pengalaman luas dan telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan negara.

Memoir membolehkan masyarakat mengenal dan menghayati perjuangan kita. Memoir menampilkan kisah peribadi dan susah payah kita. Memoir akan dirujuk oleh generasi akan datang. Memoir adalah satu bentuk penulisan sejarah yang mengabadikan sejarah sesuatu bangsa. Dan jangan lupa, sejarah ditulis oleh orang yang menang.

Persaraan cuma satu titik dalam perjalanan hidup kita yang panjang yang belum tentu di mana hujungnya. Langkah Jabatan Perkhidmatan Awam memperkenalkan kursus penulisan memoir wajar dipuji.

- ROOSFA HASHIM, Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments: