27 September 2007

CUEPACS edar senarai peniaga ingkar

Utusan Online

Oleh ZULKIFLI ABDULLAH

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terus memperhebatkan kempen memboikot peniaga yang menaikkan harga barangan dengan mengedarkan nama peniaga dan premis mereka kepada ahli-ahli kesatuan sekerja itu.

Presidennya, Omar Osman menegaskan, beliau tidak mahu ada pihak terutama para peniaga yang cuba memperlekehkan usaha tersebut.

Katanya, CUEPACS bertekad untuk bertindak lebih drastik bagi memerangi perbuatan peniaga menaikkan harga barangan.

“Kami akan berusaha menyediakan edaran pekeliling senarai peniaga yang menaikkan harga barangan keperluan untuk pengetahuan ahli-ahli CUEPACS setempat.

“Dengan berbuat demikian, ia akan memudahkan ahli untuk mengesan mana-mana peniaga yang menaikkan harga barang keperluan di kawasan masing-masing dan kemudian bertindak memboikotnya,” kata Omar kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan para peniaga yang memperlekehkan usaha murni itu tetapi menegaskan, ia sama sekali tidak mematahkan semangat CUEPACS untuk terus memperjuangkan kepentingan pekerja dalam sektor awam.

Usaha tersebut, katanya, memperlihatkan kesungguhan kesatuan sekerja yang mewakili lebih satu juta ahli itu dalam memberi ‘pengajaran’ kepada peniaga yang berdegil menjual barangan pada harga yang tidak munasabah.

Sebelum ini CUEPACS mengadakan Kaunter Aduan Pengguna mengenai harga barang selepas pengumuman gaji baru kakitangan awam pada 21 Mei lalu.

Ahad lalu pula, CUEPACS dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memulakan kempen memboikot para peniaga yang menaikkan harga barangan keperluan dengan tumpuan diberikan terhadap beras, susu, garam, tepung, minyak masak, roti dan ayam.

Mengulas lanjut mengenai penyenaraian nama peniaga yang menaikkan harga barangan kawalan, jelas Omar, semua pemimpin CUEPACS di peringkat negeri akan membuat pemantauan di kawasan masing-masing.

“Sudah sampai masanya untuk CUEPACS bertindak secara lebih agresif bak kata pepatah ‘alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’,” ujarnya.

Jelasnya, beliau tidak rela kakitangan awam yang baru sahaja menikmati gaji baru terus dibebankan dengan kenaikan harga barang keperluan apatah lagi yang dijual melebihi harga ditetapkan kerajaan.

Menurut Omar, dengan penyebaran maklumat itu, tindakan memboikot boleh dijalankan pada setiap masa menerusi pemantauan yang dijalankan dari semasa ke semasa dan tidak hanya pada musim perayaan.

“CUEPACS bukanlah satu badan yang bertindak secara ‘acah-acah’ malah kami akan terus memperhebatkan pemantauan harga barang ini bersama MTUC untuk kepentingan orang ramai,” tambahnya.

No comments: