23 September 2007

Bonus: Jangan menaruh harapan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kakitangan kerajaan dinasihatkan tidak menaruh harapan untuk menerima saguhati ataupun bonus bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan bulan depan.

Justeru, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman meminta kakitangan terbabit terutama dalam kumpulan sokongan agar lebih berjimat cermat.

“Saya telah menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) hingga lewat malam saban hari daripada kakitangan awam yang bertanyakan pasal bonus.

“Mereka dinasihatkan tidak menaruh harapan yang tinggi malah mesti berani menghadapi kenyataan yang perayaan tahun ini tidak ada bonus diberikan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, CUEPACS telah menghantar memorandum kepada kerajaan agar dipertimbangkan bayaran honorarium purata RM2,000 setiap kakitangan menjelang perayaan ini menggantikan bonus.

Jelas Omar, pihaknya mengakui bebanan kerajaan untuk membayar bonus sebulan kepada lebih satu juta kakitangan awam yang memerlukan perbelanjaan hampir RM4 bilion.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, keputusan tidak memberi bonus pada Bajet 2008 merupakan keputusan Kabinet dengan mengambil kira gaji yang diterima oleh sektor awam baru-baru ini agak lumayan.

No comments: