15 December 2006

Gaji pensyarah tempatan tak setanding tugas, idea

Dipetik daripada akhbar, Februari 2005

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

“IF you give peanuts, you get monkeys”. Mungkin perumpamaan ini sesuai untuk meringkaskan senario kesederhanaan pendidikan tinggi awam sejak 15 tahun lalu kerana skim gaji pensyarah yang rendah menyebabkan universiti awam kini dikatakan dipenuhi tenaga pengajar yang kurang beriltizam.
Sebagai contoh, skim pensyarah universiti yang baru, iaitu jawatan yang diklasifikasi perkhidmatan pendidikan dalam kumpulan perkhidmatan pengurusan dan profesional bermula dengan Gred DS45 P1T1, dibayar RM2,213.96 sebulan. Skim pensyarah perubatan pula bermula dengan gred DU45 P1T1 dengan gaji RM2,485 sebulan. Jumlah ini bukan saja dianggap terlalu kecil berbanding imbuhan dalam sektor swasta, malah lebih rendah berbanding sektor awam lain, terutama pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).
Pensyarah universiti hanya dipertimbang untuk Gred Khas C (profesor gred C) dengan gaji permulaan RM6,135.80 sebulan jika sudah mencapai tahap kecemerlangan akademik terkemuka mutunya dan syarat lain yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah Universiti.
Pensyarah, terutama perubatan yang tidak mempunyai masa untuk penyelidikan kerana dibebankan dengan tugas klinikal dan mengajar, tentu sukar mendapat kenaikan pangkat ke gred profesor madya, apatah lagi profesor. Hasilnya, pernah berlaku graduan perubatan universiti tempatan yang berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dinaikkan pangkat lebih pantas daripada pensyarahnya, kemudian ditugaskan menilai kenaikan pangkat pensyarahnya sendiri.
Gambarannya ialah skim PTD menjanjikan prospek kerjaya dengan gaji lebih baik berbanding skim perkhidmatan pendidikan atau skim lain dalam perkhidmatan awam. PTD yang ‘memegang tali’ bagi semua penjawat awam pasti tidak mahu melepaskan kuasa untuk membiarkan pihak lain membentuk skim gaji yang setara atau lebih baik untuk perkhidmatan lain.
Imbuhan untuk kakitangan cemerlang di universiti seperti profesor bukan saja sukar diperoleh, malah lebih rendah berbanding skim Ketua Setiausaha (KSU) di setiap kementerian. KSU mendapat imbuhan seperti di bawah skim Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa). Skim gaji profesor Gred A, B dan C cuba menyamai imbuhan di bawah Jusa 1, 2 hingga 3. Tetapi, KSU di beberapa kementerian yang dianggap penting menikmati skim Staf 1, 2 dan 3 yang lebih tinggi daripada skim Jusa. Lebih menarik, skim yang setara dengan skim Staf tidak wujud dalam perkhidmatan pendidikan atau perkhidmatan awam lain.
Ini bermakna, gaji maksimum untuk pensyarah ialah profesor Gred A, lebih rendah berbanding PTD atau Ketua Setiausaha dalam skim Staf 3, gred paling rendah dalam skim Staf. Maksudnya, gaji KSU di bawah skim Staf 3 jauh lebih tinggi daripada gaji pensyarah universiti awam yang berpangkat Profesor Gred Khas A.
Untuk rekod, gaji maksimum profesor Gred Khas A ialah RM9,039.80 sebulan. Lebih malang untuk golongan cerdik pandai, PTD mempunyai gaji khas untuk Ketua Setiausaha Negara.Secara umumnya, skim PTD mempunyai empat tangga gaji lebih tinggi daripada skim perkhidmatan pendidikan yang ironinya, juga dikatakan kumpulan perkhidmatan pengurusan dan profesional.
Persoalannya, adakah sumbangan kakitangan awam di bawah skim PTD lebih baik daripada buah fikiran profesor ternama di universiti awam? Ketika Kementerian Pengajian Tinggi sibuk menyediakan kriteria untuk menubuhkan universiti penyelidikan, skim perkhidmatan untuk pensyarah juga mesti diperbaiki untuk menarik graduan terbaik dalam skim pendidikan.
Seorang profesor universiti awam yang enggan namanya disiarkan berkata, kementerian mesti menyediakan skim imbuhan pensyarah setara dengan gaji yang ditawarkan oleh universiti lain di Asia Tenggara jika benar-benar mahu Malaysia menjadi pusat kecemerlangan pendidikan tinggi di rantau ini.
Katanya, universiti di Singapura yang menawarkan skim gaji menyamai imbuhan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK), akhirnya bukan saja menarik kedatangan tenaga pengajar dan penyelidik terkemuka, malah pelajar terbaik dari Asia. Suasana pendidikan tinggi dan penyelidikan yang kondusif di Singapura berjaya menarik lebih 60,000 pelajar antarabangsa ke republik itu, walaupun baru dua atau tiga tahun mempromosikan negara itu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
Malaysia yang sudah ‘bercakap’ untuk menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan pendidikan sejak enam tahun lalu, baru berjaya mendapat kira-kira 32,000 pelajar antarabangsa.Beliau berkata, universiti awam di negara ini perlu memberi lebih banyak ruang kepada pensyarah untuk menyelidik dan membentangkan kertas kerja di peringkat antarabangsa untuk mendapat reputasi tinggi di kalangan cendekiawan negara lain. “Saya mendapat tawaran sebagai profesor pelawat dengan imbuhan hampir RM30,000 dari universiti terkemuka di Asia untuk tempoh setahun. “Apabila saya maklumkan kepada pentadbiran universiti, reaksi pertama mereka ialah gaji tetap saya yang dibayar JPA akan dibekukan sepanjang bertugas sebagai profesor pelawat kerana saya mendapat gaji dari universiti baru.
“Keadaan seperti ini perlu ditangani oleh kementerian kerana universiti kita perlu mempunyai lebih banyak autonomi untuk berdiri sama tinggi dengan institusi ternama di negara lain,” katanya.
Seorang naib canselor pula memaklumkan kepada penulis, rakannya profesor dari Malaysia yang bertugas dengan universiti di Hong Kong, meraih pendapatan kira-kira RM50,000 setiap bulan. Jika universiti negara ini tidak mampu menawarkan skim gaji yang lebih tinggi daripada sekarang, Kementerian Pengajian Tinggi patut memberi laluan untuk penyelidik mendapat royalti yang lebih tinggi daripada hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka yang dikomersialkan oleh universiti.
Ketika ini, JPA menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bil 5 1999, menetapkan penyelidik di Malaysia hanya layak menerima royalti tidak lebih daripada RM30,000 sebulan daripada hasil penyelidikan yang dikomersialkan oleh agensi awam seperti universiti. Sebagai perbandingan, penyelidik di Universiti Oxford, UK, layak menerima sehingga 60 peratus daripada RM130,000 pertama royalti bersih bagi projek R&D yang dikomersialkan oleh industri.
Sebagai permulaan, Kementerian Pengajian Tinggi bercadang menubuhkan pusat paten untuk semua universiti awam bagi memudahkan proses mendaftar paten, hak cipta atau tanda niaga hasil R&D pensyarah universiti awam. Pusat seperti itu dijangka memudahkan proses mengkomersialkan hasil R&D. Konsep berpusat itu hampir sama dengan pelaksanaan universiti terbuka, iaitu semua universiti awam menyediakan dana untuk menubuhkan syarikat milik bersama untuk menawarkan pendidikan jarak jauh.
Pusat paten dan komersialisasi hasil R&D sangat penting dalam mewujudkan universiti penyelidikan dengan menawarkan lebih banyak program sarjana dan doktor falsafah (PhD), termasuk secara penyelidikan. Ringkasnya, skim gaji yang lebih baik dapat menarik graduan terbaik menyertai perkhidmatan pendidikan dan bertugas sebagai pensyarah. Tenaga pengajar dan penyelidik di institusi awam juga mesti dibenarkan mendapat royalti lebih tinggi bagi mendorong mereka untuk melakukan R&D.

No comments: