Datuk Bandar KL
Berita Harian, 14 Disember 2006
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Ab Hakim Borhan dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur menggantikan Datuk Ruslin Hasan, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Ab Hakim, 55, sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur kelapan sudah mendapat perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin, sebaik baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, semalam.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique, berkata pelantikan Ab Hakim bagi menggantikan Ruslin, 57, yang tamat kontrak perkhidmatan semalam, untuk tempoh dua tahun.Ab Hakim pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (1994 hingga 1999) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (2003 hingga 2005).Pelantikannya menamatkan spekulasi berhubung calon Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi menggantikan Ruslin yang dilantik ke jawatan itu pada Disember 2004.
----------------------------------------------------------------------------------------------------
Tahniah diucapkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru semoga bekerja dengan lebih keras untuk warga Kuala Lumpur. Tentunya perlantikan beliau merupakan hadiah tahun baru buat warga KL dan selamat bersara diucapkan kepada Datuk Ruslin Hasan.
Tentunya pihak kerajaan telah meneliti calon-calon yang berkelayakan untuk menerajui Bandaraya KL dan tentunya setelah pencarian dibuat didapati tiada seorang pun pegawai DBKL yang layak menerajui Bandaraya KL. Tentunya ini membuatkan warga DBKL tertanya-tanya adakah mereka tidak berkemampuan atau tidak berkelayakan untuk menjawat jawatan penting terebut?
Di mana kekurangan mereka dan di mana faktor kelebihan calon yang terpilih? Sedangkan mereka lebih arif dan mahir dengan selok belok Kuala Lumpur. Ditambah lagi dengan pentadbiran dan jentera DBKL sendiri di mana ada yang berkhidmat berpuluh tahun bersama DBKL. Tidakkah ini melayakkan mereka tersenarai untuk menjawat jawatan tersebut?
Persoalan ini jugalah yang bermain di minda kalangan warga KL sendiri. Jika tiada pegawai di dalam DBKL sendiri yang layak, tentunya ada kekurangan yang membimbangkan pada pegawai DBKL. Tetapi kita percaya, pegawai DBKL merupakan orang yang tahu segala selok belok urusan di Bandaraya Kuala Lumpur.
Justeru itu kerajaan telah melantik Ketua Setiausaha Kem. W.P yang baru 8 bulan menjadi KSU untuk mejadi Datuk Bandar. Tindakan ini bakal mengundang banyak persoalan kerana selaku orang baru (luar), banyak masa perlu dihabiskan untuk menyesuaikan diri dengan tempat baru. Harus diingat, menjadi KSU dan Datuk Bandar amat berbeza.
Pergaulan dengan pekerja sedia ada di DBKL perlu diberi perhatian juga. Sebagai Ketua Organisasi, perlu mengenali pegawai dan kakitangan serta mengetahui kebolehan dan keistimewaan setiap kakitangan bawahannya.
Oleh kerana tidak arif dengan pentadbiran Kuala Lumpur, 'Orang Baru' perlu merujuk kepada pegawai DBKL yang sedia maklum akan urusan-urusan harian.
Begitulah senario perlantikan Datuk Bandar baru Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment