05 April 2010

Kenaikan Gaji: Cabaran Kepada Sektor Awam

MStar

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan cadangan kerajaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam jika mereka berjaya meningkatkan produktiviti adalah cabaran kepada sektor awam.

Presidennya Cuepacs, Omar Osman berkata, jika semua kakitangan awam di negara ini sanggup meningkatkan produktiviti, tidak mustahil mereka akan merasai ganjaran baru daripada kerajaan.

"Integriti dan disiplin sebagai penjawat awan adalah kunci untuk merasai kenaikan itu dan ia sejajar dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan baru-baru ini," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang berkata, gaji kakitangan awam boleh dinaikkan tetapi dengan syarat semua penjawat awam mesti meningkatkan produktiviti kerja mereka dan menyokong inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara ekonomi berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata, selagi produktiviti negara meningkat, gaji kakitangan awam akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.

Kata Omar, kesungguhan sektor awam dalam meningkatkan produktiviti kerja bukan sahaja memberi pulangan kepada mereka malah menaikkan taraf ekonomi dan pendapatan negara.

"Kenaikan perlu setanding dengan negara luar tetapi sebelum itu pendapatan negara mestilah melebihi daripada apa yang ada sekarang untuk meningkatkan gaji penjawat.

"Jika taraf ekonomi kita baik dan menjana pendapatan yang banyak ia akan memberi faedah kepada semua penjawat awam. Namun sebaliknya jika ekonomi negara tidak kukuh, bagaimana kerajaan ingin menaikkan gaji mereka," ujarnya.

Ujarnya, jika kerajaan bersungguh-sungguh untuk menaikkan gaji kira-kira 1.2 juta penjawat awam, perhatian terhadap isu seperti mengenai rasuah, jenayah kolar putih, pecah amanah dalam sektor awam harus dibanteras.

"Teori kenaikan gaji itu sudah cantik, tetapi persoalannya di sini adalah mengenai mekanisme untuk melaksanakan perkara itu supaya semua penjawat awam lebih produktif dalam melakukan kerja.

Sementara itu, Omar turut menyarankan agara kakitangan awam diberi pemahaman tentang Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana tidak ramai yang memahami mengenai perkara tersebut.

"Taklimat yang lebih jelas tentang GST perlu kepada semua kakitangan awam kerana tidak ramai yang memahami mengenai perkara itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau meberitahu pihaknya sedang berusaha giat untuk memastikan semua penjawat awam memahami mengenai perkara itu demi kepentingan mereka.

3 comments:

Rizuan Ismail said...

ntah naik ke tak..tunggu dan lihat saja lah bajet 2011 bln oktober depan

Anonymous said...

em..harga barang dah naik skang..contoh susu pekat...naikkan ler gaji tu....

Zakaria said...

Jangan buat semua orang berpaling tadah dengan isu ni.