Pakar perubatan senior tercicir kenaikan pangkat
Berita Harian
SAYA ialah pegawai perubatan pakar yang bertugas di beberapa hospital kerajaan termasuk di Sarawak. Perkhidmatan saya sudah memasuki tahun ke-17 dan kini di gred hakiki UD52.
Pengumuman Perdana Menteri dua minggu lalu mengenai kenaikan ke UD54 bagi pegawai perubatan pakar dan bukan pakar yang berkhidmat antara sembilan hingga 12 tahun amat menggembirakan hati.
Tradisinya apabila ada pengumuman sedemikian, proses kenaikan dimulakan dengan pegawai perubatan pakar dan bukan pakar lebih senior. Pada waktu itu saya berasakan mempunyai peluang baik untuk menjadi pegawai perubatan pakar yang menerima kenaikan bersama rakan seangkatan dan rakan senior lain.
Malangnya apabila senarai pegawai perubatan pakar dan bukan pakar yang menerima kenaikan pangkat ke UD54 (tanpa melalui PTK dan pemangkuan seperti selalu) keluar, keputusannya amat memeranjatkan.
Nama yang tersenarai ialah pegawai perubatan pakar dan bukan pakar junior. Bagi yang pakar, nama tersenarai adalah yang baru diwartakan kurang tiga tahun. Bagi pegawai perubatan bukan pakar, nama yang tersenarai adalah pegawai yang sudah berkhidmat 12 tahun seperti diumumkan.
Pakar yang berkhidmat lebih 15 tahun langsung tiada. Pegawai perubatan bukan pakar yang berkhidmat lebih 20 tahun juga tidak tersenarai.
Apabila perkara ini dikemukakan ke beberapa pegawai di Kementerian Kesihatan, pelbagai versi jawapan diterima tapi tiada suatu pun yang betul-betul menjawab soalan kami kenapa bukan kami dulu yang naik seperti tradisi terdahulu? Kami diberitahu kenaikan kami menyusul kemudian. Melihat keadaan sekarang, pegawai perubatan senior akan hilang kekananan kepada pegawai perubatan junior. Di mana keadilannya?
Seminggu sudah berlalu, isu ini tidak habis diperkatakan. Rasa sedih, terkilan, marah dan teraniaya menyelubungi perasaan kami pegawai senior.
Rasa ketidakadilan dan teraniaya dengan keadaan yang berlaku. Tambah memburukkan keadaan apabila ada pegawai yang masih bercuti tanpa gaji kerana mengikut suami juga menerima kenaikan ini.
Saya dan pegawai perubatan pakar dan bukan pakar senior amat mengharapkan Kementerian Kesihatan menganalisis keadaan ini serta-merta agar kami tidak terus berasa demoralised.
DOKTOR TERCICIR,
1 comment:
salam. macamana nak semak samaada nama tersenarai atau tidak?
Post a Comment