28 January 2010

GLC perlu pastikan suara kakitangan bawah didengar

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) meminta kerajaan melantik jawatankuasa bebas pada peringkat kementerian dan kerajaan bagi memantau dan mengkaji semula kedudukan semua syarikat dan agensi di bawah GLC.

Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal, berkata penubuhan jawatankuasa bebas itu perlu untuk memastikan suara kakitangan bawahan didengari seterusnya melaporkan kepada kerajaan hasil pemantauan itu tanpa perlu berselindung.

Katanya, pihaknya mengharapkan jawatankuasa bebas itu dianggotai beberapa pihak termasuk wakil kerajaan, syarikat GLC, kesatuan dan pakar ekonomi untuk mendengar pandangan serta mendapatkan maklum balas secara terus di peringkat bawahan.

“Sebagai contoh, KTMB mengalami kerugian dan kita mencadangkan kepada kerajaan mengkaji dan mengambil semula KTMB sebagai agensi kerajaan bagi mengelakkan ia terus mengalami kerugian.

“Kerajaan pernah bertindak sedemikian kerana sebelum ini mereka pernah mengambil alih UDA Holdings Bhd, dan disebabkan itu kita mencadangkan KTMB turut diambil semula untuk diuruskan kerajaan sepenuhnya seperti 20 tahun lalu, sebelum penswastaan dilakukan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamed Shafie berkata, pihaknya akan menganjurkan satu konvensyen khas 2010 pada akhir Mac depan di ibu negara untuk membincangkan pelbagai isu berhubung syarikat GLC yang bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

3 comments:

Anonymous said...

saya amat bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Kesatuan GLC dibawah kepimpinan Mohamed Shafie, yang mana dengan adanya semakan semula dan pemantauan didalam penyelarasan semula kadar pencen dan juga umur persaraan dapat dipertimbangkan semula oleh pihak Kerajaan terutamanya Perdana Menteri. Luahan dan keluhan serta pendapat kakitangan bawahan juga mesti didengari oleh Majikan dan juga Kerajaan kerana ianya sebenarnya banyak memberikan impak yang terbaik demi memastikan sesebuah syarikat itu berjaya didalam perniagaan disamping dapat memberikan implikasi yang positif kepada Kerajaan. SYABAS!!! dan teruskan perjuangan

Anonymous said...

Kebolehan pekerja-pekerja dalaman dipinggirkan dan kurang diberi kepercayaan. Selain itu, dalam menentukan pengambilan pegawai-pegawai atasan GLC, mereka jangan lupa pada CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) terhadap pekerja mereka

Anonymous said...

Tuan Mohamed Shafie - Tuan adalah pemimpin kesatuan yang sejati yang sanggup menegakkan kebenaran dan kebajikan pekerja di Malaysia ini. Kami sentiasa mendoakan Kejayaan Tuan.