15 April 2010

Perkhidmatan Wajib Bagi Doktor Dikurangkan Kepada Dua Tahun

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perkhidmatan wajib dalam kerajaan bagi doktor-doktor kini dikurangkan kepada dua tahun daripada tiga tahun yang diwajibkan sebelum ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari Khamis.

Ini berikutan peningkatan tempoh latihan daripada setahun kepada dua tahun, katanya dalam satu kenyataan menjelaskan tindakan mengurangkan perkhidmatan wajib itu.

"Usaha untuk memendekkan tempoh perkhidmatan wajib itu akan menggalakkan mereka untuk kekal dan memberikan kepakaran mereka di Malaysia. Secara tidak langsung ini akan mengelakkan kehilangan penghijrahan tenaga pakar," katanya.

Untuk menarik lebih ramai doktor Malaysia yang berkhidmat di luar negeri untuk pulang dan berkhidmat di negara ini, Liow berkata pertimbangan khas akan diberikan kepada mereka.

Bagi doktor berusia lebih 45 tahun, tanpa mengira sama ada mereka memiliki kelayakan lepasan ijazah atau tidak, mereka akan diberikan pengecualian sepenuhnya daripada perkhidmatan awam, katanya.

Bagi yang berusia bawah 45 tahun, pengecualian akan diberikan jika mereka memiliki kepakaran khusus dalam bidang yang tidak ramai pakar, seperti yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pengecualian Perkhidmatan Wajib atau jika mereka ingin berkhidmat di universiti awam atau swasta, atau hospital kerajaan untuk tempoh berterusan selama dua tahun.

-- BERNAMA

No comments: