18 April 2010

Jangan Guna Pengaruh Politik, Pegawai JPJ Diberi Amaran

SIBU, 18 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran kepada semua pegawai jabatan itu supaya tidak menggunakan pengaruh politik atau mendapat bantuan tokoh berpengaruh untuk menyokong permohonan mendapatkan pertukaran atau kenaikan pangkat.

Ketua Pengarah JPJ datuk Solah Mat Hassan berkata amalan seperti itu adalah bertentangan dengan Perintah Am dan tidak beretika.

Pada hakikatnya, katanya, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah mengeluarkan sebuah surat pekeliling kepada semua ketua jabatan supaya menolak sebarang permohonan yang diselit dengan surat sokongan.

"Setakat ini JPJ telah mencatatkan tujuh kes seperti itu di beberapa negeri tetapi belum ada di Sarawak," katanya kepada pemberita sebelum menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 46 pegawai JPJ negeri di sini.

Dalam perkembangan lain, Solah berkata Lembaga Disiplin jabatan itu telah menyiasat 76 kes membabitkan pegawai jabatan dengan 10 kes dirujuk ke mahkamah.

"Sarawak mempunyai tiga kes di mana petugas ponteng atau menghilangkan diri tanpa kebenaran (AWOL) dan dua kes rasuah," katanya.

Mengenai penyalahgunaan dadah membabitkan petugas JPJ, katanya, sebanyak enam kes di bawa ke mahkamah dan menasihatkan mereka yang masih terbabit dengan gejala itu supaya menyerah diri dan mengikuti rawatan pemulihan.

-- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

kenakan tindakan tatatertib je...kesian kat org lain yg btul2 layak...keluarkan pekeliling ..baru masing2 tahu