17 November 2009

JPA: Tidak Hadir Bertugas Masih Kesalahan Tatatertib Tertinggi

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama)-- Ketidakhadiran bertugas masih merupakan kes kesalahan tatatertib tertinggi di kalangan kakitangan awam, terutama membabitkan kumpulan sokongan untuk tempoh Julai hingga September tahun ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata daripada 314 pegawai yang dikenakan tindakan atas kesalahan itu, seramai 294 terdiri daripada kumpulan sokongan berbanding 20 daripada kumpulan pengurusan dan profesional.

Sementara daripada seramai 159 pegawai yang dikenakan pelanggaran tatakelakuan, 143 terdiri daripada kumpulan sokongan dan selebihnya termasuk kumpulan pengurusan tertinggi dan kumpulan pengurusan dan profesional, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata seramai 46 anggota kumpulan sokongan didapati terlibat dengan kes mahkamah, 16 terlibat dengan Akta Dadah Berbahaya 1952, empat diambil tindakan kerana keterhutangan kewangan yang serius, dua kerana pekerjaan luar, satu kerana gangguan seksual, dan selebihnya kerana sebab-sebab lain."

Ismail berkata walaupun bilangan pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib, menurun sebanyak 21 peratus iaitu kurang sebanyak 119 orang daripada 685 kes pada tempoh yang sama tahun lepas, jumlah anggota kumpulan sokongan tetap merupakan kumpulan tertinggi iaitu 91.3 peratus daripada 566 anggota perkhidmatan awam yang dikenakan tindakan tatatertib untuk suku ketiga tahun ini.

Ismail berkata jumlah itu tidak termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

"Jenis hukuman yang paling kerap dijatuhkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ialah beri amaran (iaitu dikeluarkan kepada 229 pegawai) dan buang kerja (seramai 178 pegawai)," katanya.

Hukuman lain ialah denda, melucutkan hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, menurunkan gaji dan menurunkan pangkat pegawai, katanya.

-- BERNAMA

No comments: