KPT Pantau Pemberian Gelaran Prof Madya Dan Profesor
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi sedang memantau pemberian gelaran profesor madya dan profesor oleh institusi pengajian tinggi termasuk milik swasta di negara ini bagi menjamin prestij status itu, kata Timbalan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.
"Kita bukan nak menghadkan orang daripada naik pangkat, gaji dan sebagainya tetapi gelaran itu hendaklah kita jaga kerana dalam dunia akademia, gelaran itu adalah gelaran tertinggi dan suci," katanya.
Beliau berkata warga IPT masih mempunyai banyak platform untuk menikmati kenaikan pangkat walaupun tidak bergelar profesor madya dan profesor.
"Mereka boleh jadi pensyarah kanan, boleh jadi fellow utama atau pakailah nama apa pun dan naiklah pangkat. Kasihanlah kepada profesor yang jadi profesor melalui letih dan jerih menghasilkan penulisan sedangkan ada orang boleh dapat sedemikian mudah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Syarahan Perdana Naib Canselor dan melancar buku dan slogan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta program Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan dan Teknologi Peruncitan.
Pemantauan itu juga adalah sebagai salah satu usaha kementerian untuk menjamin kualiti pendidikan tinggi negara ini, katanya.
"Kita dalam usaha nak menjamin kualiti pendidikan, satu daripada caranya ialah menerusi kualiti pensyarah. Satu daripada cara menjamin kualiti pensyarah ialah kita akan mengenakan syarat yang lebih ketat untuk seseorang itu mendapat gelaran profesor madya dan profesor," katanya.
Saifuddin berkata bagi mendapatkan gelaran profesor madya dan profesor, seseorang pensyarah itu mestilah menghasilkan penulisan sekurang-kurangnya dua buah rencana berbentuk jurnal berwasit setahun selain penerbitan buku ilmiah.
"Dengan kata lain, adalah amat sukar selepas ini untuk seorang pensyarah yang tak menghasilkan penulisan untuk (mendapat) gelaran profesor madya mahupun profesor," katanya.
Sementara itu, UTM yang melancarkan program diploma eksekutif pengurusan perniagaan dan teknologi peruncitan menerima sumbangan peruntukan sebanyak RM9.2 juta, RM7.2 juta daripada syarikat I-Gate Sdn Bhd dan Mobile De Ring sebanyak RM2 juta yang bertujuan untuk menampung kos pengajian, elaun dan tempat latihan untuk pelajar universiti itu.
-- BERNAMA
3 comments:
alahai.. ini pun nak pantau? ingat rakyat malaysia tak de otak ke nak menilai beza kualiti profesor dari universiti malaya dengan profesor kolej universiti yang kurang ternama? kalau cam tu, apa kata kpt pantau semua benda yang berlaku di setiap universiti. pelajar tak cukup makan ke, pelajar ipts tak de duit nak bayar yuran ke, masalah peribadi pensyarah ke.. blah la kpt.
Kepada Mazihanjing
Bukan semua kenal seseorang prof dalam masa yg lama sehingga membolehkannya utk menilai prof tersebut.
byangkan pula kalau ramai org yg jahil agama mendtp gelaran ulama. begitu jugalah dengan gelaran professor.
kepada mazihanjing..
untunglah kan kalau boleh bezakan dalam masa yang singkat. saudara yang bercakap ni macam tak kisah sahaja kan kalau terkena dengan prof yang palsu tu. nampak sangat anda tak menitik beratkan gelaran akademia. dan saya yakin anda ni pelajar IPTS. atau mungkin anda yang terasa dengan apa yang diutarakan oleh pihak KPT :P
Post a Comment