11 August 2009

Mara akan disusun semula

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 10 Ogos - Kerajaan akan menyusun semula peranan Majlis Amanah Rakyat (Mara) agar lebih berkesan membantu bumiputera dalam bidang pendidikan dan perniagaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penyusunan semula Mara perlu dibuat bagi meyakinkan rakyat bahawa agensi itu masih berperanan membantu golongan bumiputera.

Menurutnya, beliau telah mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan beberapa kumpulan yang terlibat dalam sektor pendidikan dan perniagaan bagi merumuskan penyusunan semula agensi tersebut.

''Kita sedang memantapkan peranan Mara bagi membantu masyarakat Melayu dan bumiputera di bidang pendidikan dan perniagaan.

''Dua bidang ini diberi penekanan untuk menjadi fokus dalam penyusunan semula peranan Mara tidak lama lagi,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di sini malam tadi.

Mengulas lanjut Mohd. Shafie memberitahu, dalam bidang pendidikan, kerajaan mahu memastikan pelajar di bawah tajaan Mara tidak hanya tertumpu kepada beberapa jurusan seperti kejuruteraan dan undang-undang.

Menurut beliau, pihaknya tidak mahu dengan menumpukan kepada satu bidang sahaja, akan berlaku lambakan tenaga kerja di kalangan penuntut apabila mereka tamat pengajian nanti.

Sehubungan itu jelasnya, penyusunan semula agensi itu akan memberi tumpuan kepada membiayai pelajar menerokai pelbagai jurusan yang boleh menjamin masa depan mereka.

''Mara juga akan mencari institusi pengajian tinggi (IPT) bertaraf antarabangsa di luar negara untuk menghantar pelajar pada masa depan,'' katanya.

Dalam bidang perniagaan pula kata Mohd. Shafie, penyusunan semula itu akan tertumpu kepada usaha membantu golongan bumiputera dari segi pengisian modal insan.

Jelasnya, tumpuan dalam bidang keusahawanan tidak lagi dilihat dari aspek membina bangunan semata-mata, sebaliknya membantu mereka berjaya dalam bidang perniagaan.

Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO dalam pada itu, meminta semua ahli parti di pelbagai peringkat agar tidak mengamalkan sikap lalai, sombong dan bongkak.

''Jika sikap ini diamalkan ia akan membuatkan rakyat akan terus menjauhkan diri daripada UMNO,'' ujarnya.

No comments: