12 August 2009

Naikkan pangkat Penolong Pegawai Tadbir

SAYA ingin menarik perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung peluang kenaikan pangkat jawatan Penolong Pegawai Tadbir (PPT) Persekutuan ke jawatan Pegawai Tadbir Gred N41 atau Gred 41 lain yang amat mengecewakan.

Walaupun ramai di antara penyandang telah memiliki ijazah, telah lulus peperiksaan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) sejak 15 tahun yang lalu, selain telah lulus Aras IV dalam PTK 4 dan PTK 5, masih lagi menyandang Gred N32 dan kini telah wujud Gred N36 (yang baru diujudkan dalam SSM).

Peluang kemajuan kerjaya ini amat berbeza dengan rakan-rakan dalam skim perkhidmatan lain seperti skim Perkhidmatan Penolong Penguasa Imigresen, Penolong Pegawai Penerangan, Penolong Penguasa Kastam, Penolong Pegawai Kebudayaan, Penolong Pegawai Perhubungan Perusahaan, Penolong Pegawai Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, Penghulu dan Jabatan-jabatan lain yang mempunyai kelayakan dan kelulusan sama.

Tetapi mereka mempunyai lebih peluang, malah telah ramai yang mendapat kenaikan pangkat ke jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional mengikut skim masing-masing, sama ada melalui Kenaikan Pangkat Secara Lantikan atau permohonan baru kerana memiliki ijazah.

Sebagai contoh, kenaikan pangkat Penolong Penguasa Imigresen ke jawatan Penguasa Imigresen, Penolong Penguasa Kastam ke jawatan Penguasa Kastam dan begitu juga dengan jawatan lain di mana skim perkhidmatannya membolehkan mereka naik pangkat sehingga ke peringkat Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam Skim Perkhidmatan yang sama.

Malangnya perkara ini tidak berlaku kepada Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Persekutuan kerana jawatan Pegawai Tadbir Gred N41 banyak telah dijumudkan.

Walaupun secara dasarnya penyandang jawatan PPT boleh memohon gabungan skim 14 jawatan tetapi peratusan yang berjaya dalam temu duga dan ditawarkan ke jawatan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional amat mendukacitakan.

Walaupun kelihatan pada zahirnya peluang yang diberikan itu sama rata, realiti sebenarnya adalah jauh berbeza.

Ini kerana lazimnya kecenderungan panel penemuduga untuk memilih calon yang baru tamat pengajian universiti atau calon dari Skim Perkhidmatan yang sama berbanding calon dari kalangan Penolong Pegawai Tadbir.

Peluang dan keadaan ini amat berbeza dengan Skim Pembantu Tadbir di mana jika dibandingkan Pembantu Tadbir (P/O) Gred N17 yang telah berjaya menjawat jawatan Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 secara Kenaikan Pangkat Secara Lantikan dengan Penolong Pegawai Tadbir yang telah berjaya ke jawatan Gred 41, jauhnya boleh di ibaratkan 'langit dengan bumi'.

Malah begitu ramai sekali Pembantu Tadbir Gred N17 yang telah mendapat kenaikan pangkat ke gred N22, N26, N27 dan sekarang telah berada di gred N32, 36 berbanding ada Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 yang hanya mendapat kenaikan pangkat ke gred N32 dan N36 sahaja.

Logiknya penambahbaikan Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Persekutuan sebenarnya indah khabar dari rupa kerana tidak ada bezanya dengan jawatan Pegawai Kerja atau Pegawai Eksekutif sebelum SSB atau SSM.

Di sini saya ingin mencadangkan supaya JPA mewujudkan jawatan Penolong Pegawai Tadbir Gred N41/N42 bagi memberi peluang dan membolehkan lebih ramai Penolong Pegawai Tadbir yang layak untuk naik pangkat ke jawatan yang lebih tinggi dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, terutama yang telah lama berkhidmat dan berada dalam Gred N32 dan N36.

Daripada segi penempatan pegawai pegawai bolehlah di tempatkan di mana-mana jabatan atau pejabat di mana ketua jabatannya yang bukan dari kalangan bukan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik.

Misalnya di Institut Perguruan, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Jabatan Penjara, politeknik, hospital atau di mana saja yang difikirkan sesuai oleh pihak JPA sendiri.

PENOLONG PEGAWAI TERBIAR

Kota Kinabalu, Sabah

4 comments:

Anonymous said...

Bukan PPT je yg hadapi masalah ini, gred lain pun sama masalah. Jawapan JPA - sebab berlainan kumpulan. Satu kumpulan sokongan nak 'berpindah' ke kumpulan P & P, kena masuk interview semula. Ini dasar yg ZAAAALLIIIIMMMM!!!!!

BabyBrand said...

sepatutnya JA amik inisiatif tukar N27ke M27 untuk senang ke kenaikan pangkat

Anonymous said...

KEPAK kena mainkan peranan yang lebih besar sekiranya mahukan perkara ini menjadi kenyataan, buat masa sekarang JPA banyak melantik PTD kontrak yang rata-ratanya mempunyai CGPA tinggi tetapi tak reti buat kerja, berlagak, bodoh sombong dsb. Ini sebenarnya merupakan salah satu faktor pembaziran modal insan di sektor perkhidmatan awam di mana sepatutnya JPA patut melantik mereka yang lebih berpengalaman ke jawatan lebih tinggi seperti M41/44.

Anonymous said...

Tolong semak sikit ya,...yang banyak berjaya ke N27 adalah dari N17 dan bukannya dari Gred N22 atau N26 kerana permohonan KPSL berkenaan ta' semestinya dari N26.