17 February 2009

JPA Mesti Mampu Buat Perubahan Dinamik, Kata Abdullah

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mesti mampu membuat perubahan dinamik bukan hanya berkaitan dengan dasar tetapi yang amat penting daripada segi memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata sektor awam tidak boleh berasa terlalu selesa tetapi perlu lebih inovatif dan kreatif dalam memperbaiki mutu perkhidmatan agar relevan dengan kehendak rakyat.

Katanya proses-proses kerja yang lapuk atau perkhidmatan tidak mesra rakyat perlu diteliti semula dan perkhidmatan hendaklah berorientasikan pelanggan.

"Keadaan persekitaran hari ini lebih mencabar dan telah banyak berubah berbanding 75 tahun dahulu. Pelanggan kita kini lebih terpelajar dan mempunyai harapan amat tinggi terhadap kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

"Globalisasi pula menuntut sesebuah negara mengasah lagi daya persaingannya dan sektor swasta mengharapkan perkhidmatan awam mewujudkan satu persekitaran perniagaan yang kondusif kepada mereka untuk meningkatkan daya saing negara," katanya ketika merasmikan sambutan 75 tahun Jubli Intan JPA, bertemakan "Meniti Sejarah Merintis Kejayaan" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Khamis.

Abdullah turut melancarkan buku bertajuk "Kuasa Tak Ketara, Pengaruh Tak Diheboh" mengenai sumbangan ketua-ketua pengarah perkhidmatan awam dari dulu hingga sekarang terhadap pembangunan negara.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah JPA Tan Sri Ismail Adam.

JPA ditubuhkan pada 22 Ogos 1934 dengan perkenan Raja-raja Melayu dengan nama asalnya Pejabat Perjawatan Malaya (Malayan Establishment Office) di Singapura, sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur pada 1954, yang kemudiannya pada tahun yang sama dikenali sebagai Federation Establishment Office.

Pada 1967, ia ditukar nama kepada Establishment Office of Malaysia dan seterusnya nama JPA digunapakai pada 15 Ogos 1968.

Abdullah berkata JPA diharap dapat menerajui usaha meningkatkan keupayaan untuk bersaing dengan mana-mana negara dalam apa jua bidang kerana ia menjadi institusi pertama untuk membentuk kekuatan dan keupayaan seseorang anggota perkhidmatan awam mencapai kejayaan bagi negara.

Beliau berkata penjawat awam juga mesti mempunyai suatu ciri yang boleh membezakannya dengan pekerja sektor lain iaitu apa yang dikenali sebagai "keperibadian pegawai awam."

Katanya tidak lengkap seorang penjawat awam jika hanya memiliki kelayakan yang tinggi daripada segi kemahiran dan pengetahuan tanpa memiliki nilai-nilai murni, nilai penting bagi penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang melangkaui kebiasaan.

Beliau berkata sektor awam di negara ini turut disifatkan lebih baik berbanding beberapa negara lain terutama daripada segi gaji, imbuhan dan elaun kepada kakitangannya serta menyediakan peluang untuk meningkatkan kerjaya masing-masing pada tahap lebih tinggi.

Sebagai bekas warga JPA, Abdullah turut berterima kasih kepada jabatan itu kerana memberi latihan amat baik dan pengalaman yang kini menjadi aset kepada beliau untuk melaksanakan tugasnya pada hari ini.

"Saya amat gembira apabila dilantik menjadi pegawai kerajaan dan kemudian saya ditempatkan di JPA. Saya dapati jabatan itulah yang paling sesuai bagi seseorang yang baru dilantik untuk mengetahui budaya perkhidmatan awam serta amalan dan pantang-larangnya," katanya.

Perdana Menteri mengingatkan warga muda JPA hari ini agar menghayati dengan lebih mendalam makna bertugas di jabatan itu, peranan dan tanggungjawabnya serta berusaha untuk menjadikan tempoh perkhidmatan di JPA dan perkhidmatan awam sebagai tempoh untuk menyemai bakti kepada negara dan masyarakat.

-- BERNAMA

No comments: