17 February 2009

PDRM Lepasi Piawaian Interpol - Musa

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelesaikan kira-kira 44 peratus kes jenayah di seluruh negara tahun lepas, sekaligus melepasi piawaian kadar penyelesaian kes jenayah yang ditetapkan Interpol.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pencapaian itu adalah baik berbanding tahun 2007 apabila hanya 39.26 peratus kes jenayah diselesaikan.

"Ini jelas membuktikan kredibiliti PDRM dalam memerangi jenayah. Kadar penyelesaian kes jenayah yang dicapai tahun lepas jauh lebih tinggi daripada piawaian yang ditetapkan oleh Interpol iaitu 20 peratus.

"Tahun 2006 pula kita hanya menyelesaikan 32.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan PDRM peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Isnin.

Beliau berkata prestasi memberangsangkan itu adalah hasil pendekatan yang dilaksanakan iaitu komuniti kepolisan dan rondaan pencegahan jenayah yang efektif.

Musa berkata melalui konsep komuniti kepolisan semua Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah serta Ketua Balai dikehendaki turun padang untuk berjumpa dengan masyarakat.

"Begitu juga dengan satu lagi pendekatan iaitu semua jabatan bersama-sama bekerja secara bersepadu dalam membuat risikan untuk menentang musuh yang sama iaitu penjenayah," katanya.

Musa berkata indeks jenayah negara juga menyaksikan penurunan sebanyak 0.98 peratus dengan sejumlah 209,000 kes dilaporkan pada 2008 berbanding 211,000 kes pada tahun sebelum itu.

"Pegawai dan anggota polis tidak harus leka dan bersedia menghadapi tahun yang lebih mencabar berikutan kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia termasuk negara kita.

"Masalah pengangguran serta pembuangan pekerja mungkin memberi implikasi terhadap indeks jenayah. Oleh itu kita perlu tingkatkan kemampuan untuk memastikan masyarakat bebas daripada ancaman jenayah," katanya.

-- BERNAMA

No comments: