Tahniah Jabatan Penjara!
Utusan Online
TAHNIAH kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana mendapat pujian dari Koordinator Persidangan Pentadbir-Pentadbir Penjara Rantau Asia Pasifik, Profesor Neil Morgan yang berkata: "...kami telah melawat banyak negara untuk melihat keadaan penjara dan banyak perbezaan dari segi layanan, pengurusan dan tahap keselamatan di penjara negara ini...'(Utusan Malaysia, 28 November 2008).
Pujian itu tidak meleset dari pandangan sebahagian besar orang ramai bahawa penjara kita memberi layanan terbaik kepada banduan-banduan jika dibandingkan dengan lain-lain negara membangun. Malahan YB Ibrahim Ali sendiri yang pernah ditahan di bawah ISA berkata beliau mendapat layanan baik.
Kerana itu warga asing tidak keberatan melakukan jenayah di negara ini kerana bagi mereka yang biasa keluar masuk penjara ibarat pulang ke syurga. Manakan tidak, mereka diberi makan yang secukupnya, ada waktu riadah dan diberi latihan kemahiran di samping kuliah agama bagi mereka beragama Islam. Lagipun sebahagian besar kakitangan penjara terdiri dari penjawat awam yang terlatih, berdisiplin, profesional dan bermurah hati.
Bukan itu sahaja. Warga asing yang melakukan jenayah di negara ini mendapati hukuman yang dikenakan kepada mereka amat ringan jika dibandingkan di negara mereka. Misalnya terdapat satu kes warga asing memiliki kad pengenalan penduduk tempatan dijatuhi hukuman kurang sebulan kerana bertindak sebagai pegawai kastam palsu. Waduh! Sungguh lumayan Pak.
Rakyat Malaysia memang terkenal sebagai masyarakat penyayang. Mungkin itu adalah salah satu faktor warga asing lebih suka datang ke sini walaupun terpaksa berenang lautan api. Dan bagi banduan asing pula mereka akan cerita kepada kawan-kawan mereka bahawa penjara kita ibarat syurga jika dibandingkan dengan penjara mereka di mana mereka dilayan lebih teruk dari binatang. Kerana itu terdapat mereka menyamar sebagai pelancong bertujuan melakukan jenayah di sini.
Semoga kebaikan kita dibalas oleh Allah s.w.t. dengan memberi keberkatan, kemakmuran dan keamanan di negara bertuah ini.
HASSAN TALIB
Gombak
No comments:
Post a Comment