01 December 2008

Sistem bayar cukai Malaysia ke-21 terbaik

Berita Harian

BINTULU: Sistem pembayaran cukai yang diguna pakai di negara ini menduduki tempat ke-21 terbaik dunia dari segi pengurusannya hasil penyelidikan dilakukan Bank Dunia menerusi tinjauan perniagaan sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Hasmah Abdullah, berkata pencapaian ini amat menggalakkan berbanding tahun lalu, Malaysia hanya menduduki tangga yang ke-56.

Beliau berkata, kedudukan itu membuktikan adanya peningkatan memberangsangkan dalam sistem pungutan cukai di Malaysia.

"Sasaran kita sekarang ialah menduduki tempat sepuluh terbaik dalam sistem pungutan cukai di dunia," katanya ketika merasmikan bangunan pejabat baru LHDN di sini, semalam.

Sebelum ini, pejabat LHDN Bintulu beroperasi di bangunan di Pusat Perniagaan Komersial Medan Jaya di Jalan Miri-Bintulu.

Hasmah berharap LHDN dapat meningkatkan lagi sistem pungutan cukai sekali gus meningkatkan pendapatan kerajaan.

Katanya, ia termasuk pembayaran cukai menerusi internet bagi memudahkan urusan berkaitan termasuk pembayaran dan mengemaskini borang cukai.

Beliau berkata, jumlah pembayar cukai di Bintulu meningkat dengan ketara sepanjang tahun ini.

"Tahun lalu hanya 7,105 pembayar cukai tetapi jumlah berkenaan meningkat lebih dua kali ganda iaitu 16,396 sehingga hujung bulan lalu," katanya.

No comments: