25 September 2008

Bekas kakitangan kerajaan gagal dalam rayuan bagi pemecatan

Berita Harian

PUTRAJAYA: Seorang bekas kakitangan kerajaan gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memecatnya daripada perkhidmatan 15 tahun lalu bagi salah laku disiplin.

Sidang panel hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Hasan Lah dan Datuk Sulaiman Daud sebulat suara menolak rayuan Mohd Daud Mahmood selepas memutuskan proses membuat keputusan yang dikendalikan oleh JPA tidak cacat.

Mohd Daud 53, menyaman Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Kerajaan Malaysia, mencabar keputusan JPA yang memecatnya pada 2 November 1993 dan memohon diambil bekerja semula serta bayaran balik gaji.

Bekas penolong pegawai di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan ketika itu membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan selepas dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Mohd Daud dipecat daripada perkhidmatan selepas dia diminta memberi tunjuk sebab terhadap enam pertuduhan disiplin iaitu datang kerja lambat, meninggalkan pejabat tanpa kebenaran pegawai atasan dan tidak hadir bekerja tanpa kebenaran, melewatkan pembayaran kepada peserta dan bayaran bagi sewa bas dan gagal menyediakan laporan kepada pegawai atasannya.

Hakim Zaleha dalam keputusannya berkata Mahkamah Tinggi adalah betul semasa memutuskan JPA tidak disyaratkan memberikan alasannya bagi pemecatan Mohd Daud.
Mohd Daud menyatakan wujud prejudis terhadap beliau dengan pemecatan itu kerana dalam surat pemecatan kepadanya, JPA tidak menyatakan pilihan bagi turun pangkat.

Katanya proses membuat keputusan oleh JPA adalah cacat kerana JPA tidak menimbangkan pilihan untuk turun pangkat berikutan ketiadaan pilihan itu (pilihan untuk turun pangkat) dalam surat pemecatan itu.

Mahkamah Rayuan bagaimnapun, memutuskan tidak terdapat apa-apa yang mencadangkan JPA ada menimbangkan pilihan turun pangkat kerana surat pemecatan itu sebenarnya merujuk kepada surat tunjuk sebab yang ada menyebut mengenai turun pangkat dan pemecatan.

Peguam Kanan Persekutuan S.Narkunavathy mewakili JPA dan kerajaan manakala Mohd Daud diwakili peguam Karpal Singh dan Sangeet Kaur. - Bernama

1 comment:

DATUK said...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
tuan/puan.
MINTA MEREKA YANG ARIF BERIKAN KOMEN.
....Kenapa skim perkhidmatan kerajaan seperti W, F, J, DG, U dan sebagainya mempunyai kesinambungan Gred 1 hingga 54. Tetapi tidak skim/kumpulan “N”.
Perkara ini boleh diandaikan seperti POHON. Bagi kumpulan “N” ia mempunyai akar umbi (N1) hingga ke batang sahaja (N36)...???
Manakala kumpulan “M” pula ia bermula dari dahan dan daun, bunga dan buah (M41 hingga M54 dan JUSA...)
Sekian. Terima kasih.

Wassalam.