21 April 2008

Lanjut usia bersara tambah penganggur

Berita Harian

LANGKAH dan cadangan melanjutkan umur bersara penjawat awam dalam sektor perkhidmatan kerajaan harus diteliti dan dikaji sedalam-dalamnya sebelum dilaksanakan. Setiap yang membabitkan perubahan dasar, jika tersilap langkah, pasti membawa kesan buruk kepada kerajaan dan perkhidmatan yang diberikan.

Tempias daripada kepincangan itu ialah semua rakyat Malaysia. Umur sebenarnya mempengaruhi perlakuan, keupayaan dan kesihatan seseorang.

Tidak dinafikan, umur yang semakin meningkat menambah kematangan seseorang, namun sebaliknya ada kala umur meningkat pula mengurangkan tahap keupayaan dan kemampuan bekerja seseorang terutama dari segi fizikal.

Umur semakin meningkat selalunya dikaitkan dengan penyakit yang semakin bertambah dan keupayaan yang semakin rendah.

Manusia sebenarnya tidak dapat lari daripada memikirkan keuntungan diri sendiri tanpa mempedulikan kesusahan orang lain.

Cadangan meningkatkan usia bersara itu boleh dikaitkan dengan mencari keuntungan 'tak sudah-sudah' untuk diri sendiri pada hal kemampuan diri dan daya produktiviti sebenarnya sudah semakin berkurangan terutama bagi tugasan dalam sektor kerajaan yang menjurus keupayaan fizikal seperti kerjaya guru, jururawat, unit beruniform dan sebagainya.

Lainlah pekerjaan yang membabitkan seseorang kakitangan kerajaan yang harus memberi sumbangan idea seperti profesor, pakar perunding dan sebagainya.

Tugas yang menjadikan pengalaman sebagai aset untuk meningkatkan pencapaian.

Curahan minda dan idea mereka amat diperlukan untuk membangunkan negara dan seharusnya mereka dilanjutkan perkhidmatan hingga 65 tahun. Cuba kita selak rekod pesakit di Malaysia. Majoritinya pada usia memanjat 50 tahun, pelbagai penyakit mula mendekati rakyat Malaysia.

Antara senarai penyakit yang boleh menjejaskan keupayaan fizikal seseorang ialah kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya. Penyakit yang tersenarai itu adalah penyakit kronik yang tiada ubat dan secara realiti, mempengaruhi perjalanan hidup dan tugas seseorang jika dia seorang penjawat awam.

Jadi, jika dilanjutkan lagi usia perkhidmatan kakitangan sebegini, maka semakin pincanglah perkhidmatan kerajaan.

Saya sendiri pernah merasai berkhidmat dengan beberapa rakan guru yang dilanjutkan perkhidmatan mereka secara kontrak sehingga usia 60 tahun.

Mereka ini sebenarnya tidak banyak membantu meringankan beban guru lain di sekolah.

Mereka kadang-kadang banyak kerenah, menolak kerja fizikal, mengelak tugas berat dan yang lebih mengecewakan mereka kerap 'keluar masuk' hospital. Kita singkap pula dari sudut peluang pekerjaan baru bagi generasi anak kita.

Peluang mereka untuk bekerja dalam sektor awam tentu semakin menipis dan pengangguran di kalangan mereka tentu semakin menebal. Peluang untuk negara mendapat suntikan idea dan tenaga baru yang lebih segar tentu semakin berkurangan.

Ia sebenarnya boleh menjejaskan keupayaan sektor awam. Kepada penyokong usia bersara 60 tahun untuk perkhidmatan awam, renungilah kesan negatif di sebalik sokongan anda. Kasihanilah anak kita, anak saudara kita atau mungkin cucu-cicit kita.

Biarlah mereka pula menikmati hidup yang bermakna seperti yang sedang dan pernah kita rasai.

Biar lebih ramai 'benih-benih baru tumbuh segar' dalam sektor perkhidmatan awam dan mungkin benih itu adalah orang yang kita sayangi yang bakal mewarnai kesinambungan kejayaan negara.

Harapan saya, kekalkan usia bersara 56 tahun untuk kakitangan perkhidmatan awam. Kita sebagai manusia bukan diberi Allah kudrat yang semakin kuat tetapi semakin berkurangan.

Kepada kakitangan awam beragama Islam, ambillah peluang bersara pada usia 56 sekarang untuk menambah amal ibadat kepada Allah.

Jika masih dengan kesibukan bekerja, mana mungkin kita mampu melakukan ibadat yang berkualiti malah dibimbangi kita mungkin semakin jauh daripada Allah.

Fikirkanlah bersama, sama ada kita sudah cukup bekalan untuk menemui Yang Maha Pencipta. Fikirkan ia untuk kebaikan semua.

Semoga Perdana Menteri dapat membuat keputusan yang menguntungkan seluruh rakyat Malaysia dalam isu melanjutkan usia bersara untuk kakitangan awam.

IRMAZ DINI,
Pendang.

1 comment:

Anonymous said...

saya bersetuju ngan pendapat ini,saya akan menyokong 100% pendapat ini.pada kerajaan di bwh pimpinan pak lah,kaji lah sebaik-baiknya cadangan ini.saya cadangkan,jgnlak dilupakan kepada penjawat2 awam yang pertahankan kedaulatan negara...semak semula kadar elaun sara kwsn C yg terlalu di sesetgh kwsn jika dibandingkan taraf hidup di kwsn tersebut