21 April 2008

Jabatan diminta elak pembaziran

Berita Harian

Oleh Fazli Abdullah


METERAI PERJANJIAN: Nor Mohamed (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Abdul Wahab (kiri) dan Abdul Latif di Georgetown, semalam.

Potong perbelanjaan perkara tak perlu: Nor Mohamed

GEORGETOWN: Semua kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan diminta berbelanja secara berhemat termasuk tidak menganjurkan majlis secara besar-besaran atau di hotel bertaraf lima bintang.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata ketika dunia berhadapan krisis makanan dan kenaikan kadar inflasi, negara perlu berhati-hati membelanjakan wang rakyat dan mengelakkan pembaziran.

"Perasmian sesuatu acara atau majlis menandatangani perjanjian tidak perlu diadakan di hotel besar bertaraf lima bintang kerana ia membabitkan perbelanjaan yang besar.

"Saya berharap semua agensi kerajaan dapat memotong perbelanjaan untuk perkara tidak perlu. Dalam keadaan inflasi sekarang, kita perlu memotong perbelanjaan yang tidak perlu. Wang yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk membantu rakyat yang akan menerima faedahnya secara langsung," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Mimos Berhad (Mimos) dengan Mutiara.Com Sdn Bhd di Bangunan Umno, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos, Datuk Abdul Wahab Abdullah dan Pengerusi Mutiara.Com, Datuk Abdul Latif Mirasa.

Menerusi MoU itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melantik Mutiara.Com sebagai penerima teknologi terkini dalam bidang pertanian yang dibangunkan Mimos untuk dikomersialkan menerusi Program Pelesenan Teknologi.

Nor Mohamed menjelaskan beliau membangkitkan perkara berkenaan sebagai peringatan bagi memastikan wang kerajaan dibelanjakan secara berhemat bagi mengelak pembaziran.

Katanya, ia bukan perkara baru kerana memang ada pekeliling mengenai perkara itu yang dikeluarkan sebelum ini.

"Saya hanya memberi ingatan supaya ketika dalam keadaan begini (krisis makanan global dan inflasi) perlu berjimat dengan mengurangkan pembaziran dan perbelanjaan, khususnya untuk sambutan yang meriah, macam-macam program diatur untuk majlis perasmian.

"Kita gunakan peruntukan yang ada supaya memberi faedah secara langsung kepada rakyat dan inilah yang disebutkan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) sebagai program memfokuskan kepada rakyat," katanya.

Nor Mohamed berkata, program memberi fokus kepada rakyat bukan hanya merujuk kepada projek untuk penduduk di peringkat akar umbi, malah apa saja yang boleh memberikan kebaikan secara langsung kepada rakyat.

No comments: