Lebih 9,000 doktor naik gred UD-44
Berita Harian
Skim lebih baik mantapkan kualiti perkhidmatan
PUTRAJAYA: Lebih 9,000 pegawai perubatan (doktor) gred UD-41 bakal menikmati kenaikan pangkat ke gred UD-44 apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan skim perkhidmatan lebih baik bagi memantapkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican, berkata kira-kira 2,000 pegawai perubatan lantikan tahun ini yang perlu mengikuti latihan siswazah (housemanship) selama dua tahun akan dipertimbang kenaikan pangkat ke gred UD-44 pada 2010, membabitkan implikasi kewangan RM1.7 juta setahun.
Pada masa sama, katanya, lebih 7,000 pegawai perubatan gred UD-41 lantikan sebelum tahun ini juga akan mendapat pelarasan kenaikan pangkat ke gred UD-44, membabitkan implikasi kewangan RM9.8 juta setahun.
"Diharap dengan penambahbaikan peluang kenaikan pangkat untuk doktor muda serta pemantapan latihan siswazah yang diberi kepada pegawai perubatan, perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai akan bertambah baik dan berkualiti," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mohd Ismail juga berkata, pengenalan tempoh latihan siswazah selama dua tahun mulai tahun ini berikutan keputusan Kabinet pada 21 November lalu mampu meningkatkan kualiti dan kompetensi pegawai perubatan dalam bidang klinikal.
"Langkah ini dilaksanakan semata-mata untuk memastikan pegawai perubatan yang dihasilkan adalah bermutu dan kompeten untuk merawat pesakit dan boleh ditempatkan di mana-mana fasiliti kesihatan termasuk di luar bandar," katanya.
No comments:
Post a Comment