16 February 2008

KSN akur arahan jumpa Cuepacs

Berita Harian

Oleh Amirullah Andi Nur

Mohd Sidek enggan beritahu tarikh bertemu Abdullah bincang isu sagu hati

MELAKA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan akur dengan arahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk bertemu Cuepacs bagi membincangkan permintaan kesatuan berkenaan mendapatkan sagu hati bagi kakitangan awam yang dianggarkan RM2 bilion.

Beliau yang ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan Pegawai Daerah Melaka dan Johor di sebuah hotel di sini semalam, bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila akan bertemu Perdana Menteri bagi membincangkannya.

"Saya akur dengan keputusan Perdana Menteri itu," katanya apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Abdullah di Bangi, kelmarin yang mengesahkan beliau sedia menemui Cuepacs berhubung tuntutan kesatuan mendapatkan sagu hati sekurang-kurangnya RM2,000 setiap kakitangan awam.

Dalam jawapan ringkasnya ketika menjawab soalan berkenaan, Perdana Menteri berkata beliau belum dapat bertemu Cuepacs kerana masih sibuk tapi mengesahkan akan memanggil Mohd Sidek bagi membincangkan perkara itu.

Selasa lalu, Cuepacs mengesahkan sudah menghantar surat kepada Jabatan Perdana Menteri bagi menetapkan tarikh pertemuan dengan Perdana Menteri.

Presidennya, Omar Osman dilaporkan berkata, kesatuan masih berharap Mohd Sidek yang sebelum ini mengakui 'segan' membawakan cadangan itu kepada Perdana Menteri agar turut sedia membantu.

Cuepacs sebelum ini menyatakan rasa kecewa dengan sikap Mohd Sidek yang tidak memaklumkan mengenai permohonan mereka kepada Perdana Menteri, meskipun Abdullah sendiri sudah memberi isyarat agar perkara itu dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara terlebih dulu.

Mohd Sidek membuat pengakuan itu ketika diwawancara dalam program di TV1 lebih seminggu lalu dengan memberi alasan beliau segan berbuat demikian.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Sidek menasihatkan penjawat awam tidak melanggar peraturan dan undang-undang sepanjang proses pilihan raya umum ke-12 bagi mengelak sebarang tindakan disiplin.

"Sama ada pilihan raya atau sebaliknya, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan kerana ini soal biasa.

"Begitu juga tidak timbul isu sama ada perlu kita membekukan cuti kakitangan awam atau sebaliknya. Sesetengah penjawat mungkin perlu seperti polis bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya," katanya.

No comments: