Pegawai kerajaan tak dibenar bercuti
Berita Harian
KOTA BHARU: Semua pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara kini tidak dibenarkan bercuti memandangkan negara sedang berdepan pelbagai masalah khususnya banjir.
Arahan merujuk kepada Ketua Setiausaha, Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan itu dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi memastikan jabatan dan agensi kerajaan masing-masing memainkan peranan pro-aktif dalam menangani masalah banjir.
Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata sebagai pegawai kanan kerajaan, tugas untuk negara adalah lebih penting yang perlu didahulukan berbanding bercuti.
"Sebelum KSN menunaikan haji di Makkah, beliau memberi ingatan kepada semua KSU, ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan bahawa jika berlaku banjir, demonstrasi jalanan serta masalah lain, mereka tidak dibenarkan bercuti.
"Tugas kita lebih utama dan kalau pergi ke mana-mana pun, kita mesti tinggalkan nombor telefon supaya mudah dihubungi. Kalau orang buat panggilan pada telefon bimbit, kena jawablah. Dalam keadaan sekarang, banyak perkara penting yang nak disampaikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat banjir negeri Kelantan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim, di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar.
Abdul Aziz berkata, pihaknya mendapati ada pegawai kanan kerajaan ketika ini sedang bercuti panjang tetapi jumlah itu tidak ramai dan jika mereka bercuti tanpa alasan kukuh, nasihat akan diberikan.
"Hujung tahun memang ramai yang bercuti panjang, tetapi sekarang ini tak sesuai....sudahlah bercuti, tak dapat dihubungi pula. Tidak kira dari jabatan manapun, perlu maklum di mana kita berada.
"Di Kelantan, tak banyak masalah seperti itu, tetapi mungkin ada seorang dua yang kita boleh bagi nasihat," katanya.
Mengenai persiapan menghadapi gelombang kedua banjir yang diramalkan bermula Jumaat ini akibat fenomena air pasang, Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Kelantan, berkata semua persiapan sudah dilakukan jabatan dan agensi berkaitan.
No comments:
Post a Comment