25 March 2010

Elaun Khas Galak Anggota Polis Lebih Komited, Kata KPN

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pemberian elaun khas RM200 kepada 33,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas-tugas am akan sedikit sebanyak mengurangkan gejala rasuah di kalangan anggotanya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Katanya kenaikan itu juga menunjukkan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap tugas anggota polis dan secara tidak langsung ia menggalakkan mereka bekerja dengan lebih amanah, komited dan dedikasi.

Beliau berkata selama ini pegawai terutama anggota berpangkat rendah telah bertungkus lumus menjalankan tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara serta memerangi jenayah dan menjalankan pelbagai tugas lain tanpa kenal erti jemu.

"Saya berasa terharu dan terkejut dengan pengumuman ini. Saya berterima kasih kepada perdana menteri kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagi dan menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan PDRM.

"Dengan kenaikan buat pertama kali kepada mereka yang melakukan tugas-tugas am, tentunya ia akan menjadi pembakar semangat kepada mereka dalam menjalankan tugas dengan lebih dedikasi dan komited," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Polis Ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini Khamis.

Semasa merasmikan sambutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar elaun bulanan sebanyak RM200 itu yang membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM84 juta setahun.

Beliau juga mengumumkan anggota berpangkat Konstabel akan dinaikkan pangkat ke Lans Koperal selepas tiga tahun perkhidmatan, dan Lans Koperal dinaikkan pangkat ke Koperal selepas lima tahun.

Musa berkata beliau bersama warga PDRM sentiasa berikrar untuk bekerja lebih keras dalam menentukan keselamatan negara berada di tahap optimum selain memastikan kadar jenayah terutamanya jenayah jalanan dapat diturunkan.

Bagi Konstabel Mohd Izwan Faez Hashim, 22, yang bertugas di Balai Polis Cheras, kenaikan kadar insentif tersebut sememangnya ditunggu-tunggu dan beliau turut berjanji akan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih cemerlang.

"Saya berterima kasih atas keprihatinan kerajaan dalam menghargai susah payah anggota polis yang bekerja hampir 24 jam sehari dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

"Mungkin bagi kita jumlah itu tidaklah besar, tetapi ia tetap memberikan semangat kepada anggota polis terutama yang berpangkat rendah dalam menguatkuasakan undang-undang sekali gus menangani gejala rasuah yang semakin berleluasa," katanya.

Lans Koperal S Saravanan, 26, dari cawangan kem Komandan Pulapol Kuala Lumpur pula berkata selaras dengan berita baik tersebut, usaha anggota polis juga perlu dilipatgandakan demi memastikan pencapaian kerja berada pada tahap yang maksimum.

"Saya gembira dengan berita baik itu dan berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh dan lebih keras serta menjaga imej PDRM sejajar dengan imbuhan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Bagi Lans Koperal Sik Prasong dari Unit 69 Komando, Ulu Kinta, pemberian insentif itu sememangnya diperlukan setimpal dengan beban kerja dan tanggungjawab yang digalas anggota polis.

Katanya polis kini semakin berdepan tugas yang mencabar dan ia seakan dibayar dengan adanya ganjaran seperti ini.



-- BERNAMA

No comments: