28 January 2009

Pegawai disyaki terima rasuah percepat lulus pinjaman

Berita Harian

KUALA SELANGOR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar mendedahkan beliau mendapat maklumat ada pegawai agensi kementerian itu menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan pinjaman.

Beliau berkata, pegawai itu meminta habuan tertentu sebagai balasan jika mahu mempercepatkan atau meluluskan pinjaman dan jika enggan, permohonan tidak diluluskan.

"Siapa cepat hulur (komisen), cepatlah kelulusannya. Siapa tidak hulur kebulur jawabnya tak dapat (permohonan tidak lulus)," katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen kawasan Tanjung Karang, di sini semalam.

Namun, Noh berkata, tiada pengadu tampil memberi bukti dan keterangan.

Beliau berkata, dakwaan itu mungkin benar tetapi sukar diambil tindakan kerana pengadu atau pemohon enggan memberi kerjasama.

"Pengadu kena beri bukti supaya tindakan dapat diambil. Jika takut membuat aduan, pengadu boleh memberi nama pegawai atau pejabat mana yang terbabit atau mengadu terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh melindungi pengadu," katanya.

Noh berkata, pemohon yang bermasalah juga boleh mengadu terus kepada kementeriannya secara bersemuka yang diwujudkannya selepas dilantik menteri di kementerian itu.

Katanya, pegawai yang didakwa bermasalah, pengadu dan wakil kementerian akan dipanggil bersemuka bagi membincangkan masalah pinjaman dan cara mengatasinya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kementerian menyediakan kursus keusahawanan percuma kepada pekerja yang diberhentikan kerana kegawatan ekonomi.

"Kita syorkan mereka datang secara berkumpulan supaya mudah kita beri kursus percuma mengikut kehendak mereka yang disesuaikan kehendak pasaran kerja," katanya.

Dalam pada itu, Noh memberi amaran akan menggantung permit syarikat bas ekspres yang melanggar peraturan termasuk menaikkan tambang bas sempena cuti Tahun Baru Cina.

Katanya, ada syarikat bas di Hentian Putra dilaporkan menaikkan tambang bas beberapa kali ganda untuk perjalanan dari dan ke Pantai Timur sempena cuti itu.

No comments: