26 December 2009

MAMPU Sedia Khidmat Pelan Strategik ICT Dengan Bayaran 25 Peratus

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Kerajaan dan agensi-agensinya hanya perlu membayar 25 peratus daripada kos untuk membangunkan Pelan Strategik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) apabila menggunakan khidmat pasukan perunding ICT Sektor Awam (PPICT) yang disediakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Urusan (MAMPU).

Ketua Pengarah MAMPU Datuk Normah Md Yusof berkata berbanding menggunakan khidmat konsultan ICT swasta yang boleh mencecah sehingga RM500,000 untuk setiap projek, perkhidmatan yang disediakan agensi itu hanya melibatkan kos kira-kira RM100,000.

"Ia bersesuaian dengan matlamat kerajaan yang mahu mengiktiraf lebih ramai ramai pakar ICT dalam sektor awam untuk mengurangkan kebergantungan terhadap konsultan swasta," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Strategik ICT Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Khamis.

Menurut Normah selain Jawi, Lembaga Pelabuhan Johor, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri serta pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah mendapatkan khidmat MAMPU.

"MAMPU juga sedang membangunkan projek untuk pejabat Perdana Menteri, Perpustakaan Negara Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara yang dijangka selesai pada akhir Januari tahun depan," katanya.

Beliau berkata PPICT yang diketuai Dr Zahari Othman telah diwujudkan pada 1 Dis tahun lepas dan bertanggungjawab untuk memberikan khidmat perundingan antaranya perancangan strategik, pengurusan projek, pembangunan sistem serta pangkalan data.

Mengenai Pelan Strategik ICT Jawi, Ketua Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali berkata ia selaras dengan saranan pihak kerajaan supaya setiap agensi kerajaan menyediakan pelan itu bagi menyokong visi ICT sektor awam.

"Projek ini memakan masa selama enam bulan. Ia sebagai langkah awal ke arah memastikan maklumat mengenai pentadbiran dan operasi hal ehwal agama peringkat Wilayah Persekutuan dapat disampaikan dengan lebih berkesan," katanya.

Che Mat berkata antara aplikasi yang dibangunkan Jawi adalah E-Munakahat yang menguruskan mengenai pendaftaran perkahwinan, cerai dan rujuk serta E-Hidayah yang digunakan untuk pendaftaran maklumat saudara baru.



-- BERNAMA

1 comment:

The Muppets Boy said...

Aslkm,hai,salam ziarah,nice blogging,tapi nak ajak/please visit blog terbaru ni http://metroskandal.blogspot.com ,n jgn lupe linkkn blog ni,ok bye