01 September 2009

Cuepacs, MTUC wajar perjuang Cola ahli di desa

Berita Harian

SAYA ingin menarik perhatian pembaca yang sedar ataupun tidak penduduk luar bandar terpaksa mengalami dan menanggung kos sara hidup yang tinggi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan lebih tinggi daripada penduduk bandar.

Kebenaran kata saya ini boleh dibuktikan dengan melihat perbandingan perjalanan kehidupan perbelanjaan penduduk di bandar dan luar bandar.

Pada masa ini, harga rumah, sama ada bayar pinjaman bank atau sewa adalah sudah tidak jauh bezanya antara bandar dan luar bandar. Penyewa rumah di luar bandar juga terpaksa membayar sewa yang tinggi atas alasan mengikut kadar semasa.

Untuk barangan keperluan harian pula, penduduk luar bandar terpaksa mengeluarkan wang yang lebih untuk membeli barangan di kedai kecil. Malah, penduduk bandar boleh menikmati dan membeli barang keperluan harian dengan harga yang jauh lebih murah di pasar raya besar yang berhampiran di samping pilihan yang pelbagai.

Sebelum ini, ada kedengaran, kementerian yang berkaitan hendak mewujudkan satu mekanisme agar harga barang di luar bandar sama dengan harga barang di bandar. Ini membuktikan harga barang di luar bandar adalah lebih tinggi dari di bandar.

Jaringan jalan raya di bandar juga jauh lebih sempurna dari jalan di luar bandar. Penduduk dan pengguna luar bandar terpaksa menanggung kos pembaikan kenderaan seperti tayar, penyerap hentak dan sebagainya dengan lebih tinggi disebabkan keadaan jalan raya yang tidak sempurna.

Di tambah lagi dengan harga yang tinggi dikenakan oleh kedai membaiki kenderaan kerana pengguna tidak banyak pilihan berbanding dengan di bandar.

Di luar bandar, harga minyak petrol adalah sama dengan di bandar. Malah, penduduk luar bandar terpaksa menggunakan bahan bakar ini setiap hari untuk keluar ke tempat kerja. Di bandar, penduduk boleh memilih untuk menaiki kenderaan awam yang boleh menjimatkan kos sara hidup mereka di samping pilihan dan prasarana kenderaan awam yang jauh lebih baik dan bagus dari di luar bandar yang seakan-akan hidup segan mati tidak mahu.

Saya harap pihak Cuepacs dan MTUC tidak hanya memikirkan kepentingan ahli-ahlinya di bandar saja dalam menuntut apa-apa keistimewaan tanpa melihat realiti sebenar kehidupan dan kos sara hidup ahli di luar bandar.

Cuepacs harus memperjuangkan kadar elaun sara hidup (Cola) yang diterima di luar bandar sama dengan di bandar. Saya harap keprihatinan kerajaan ini dapat mewujudkan gagasan 1Malaysia yang lebih makmur dan keselesaan hidup dapat dinikmati serta dikecapi oleh semua masyarakat Malaysia.

ZUL 1MALAYSIA,
Negeri Sembilan.

No comments: