03 August 2009

Guru siswazah belum naik gred DG41

SAYA mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan Program Pensiswazahan Guru Besar (PPGB) ambilan 3/2005 Mod Intensif di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 13 September 2005 hingga 13 September 2007. Saya dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) dengan Kepujian pada 12 Mac 2008.

Pada 1 April 2008 saya menghantar dokumen permohonan pelantikan ke jawatan tetap PPPS Gred DG41 ke Bahagian Sumber Manusia (BSM) untuk dipanjangkan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Selang dua bulan SPP memulangkan semula dokumen berkenaan ke BSM dan mengarahkan saya memohon secara online. Maka saya membuat semula permohonan secara online seperti diarahkan.

Beberapa bulan kemudian SPP memaklumkan bahawa permohonan saya tidak lengkap untuk diproses kerana tiada tarikh penempatan semula. Mungkin SPP keliru dengan menganggap kami belajar secara sepenuh masa dengan mengambil cuti sambil belajar dan memerlukan proses penempatan semula.

Pada 14 Oktober 2008 BSM menghantar surat kepada SPP berkaitan urusan pengambilan calon yang memohon untuk dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 selepas tamat program pensiswazahan. Surat itu menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh SPP mengenai penempatan semula.

Akhirnya pada 2 April 2009 barulah SPP menjalankan proses temu duga pelantikan ke Jawatan tetap PPPS Gred DG41. Namun hingga kini saya masih belum menerima surat tawaran pelantikan sedangkan beberapa kumpulan guru yang lebih lewat konvokesyen dan lewat dipanggil temu duga sudah mendapat surat tawaran pelantikan ke Gred DG41.

Pada 29 Jun 2009 saya mengajukan persoalan sama ketika Program Executive Talk oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelajaran Datuk Kamaruzaman Mohd Noor. Beliau meminta saya menghubungi Datuk Kusaini Hasbullah, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia.

Harapan saya supaya perkara ini mendapat perhatian sewajarnya demi memartabatkan profesion perguruan dan mengharapkan tawaran pelantikan dapat diseragamkan mulai tarikh 1 April 2008 iaitu tarikh selepas Konvokesyen pada 12 Mac 2008.

ADUKA,
Tanjong Malim.

2 comments:

Anonymous said...

Cikgu Kadir, SPP hanya menerima permohonan secara online mulai 2008, sebelum itu guru siswazah secara PJJ mesti memohon secara manual. Guru siswazah bagi PPPLD melalui pensiswazahan secara sepenuh masa mahu pun pjj perlu ada surat pengesahan penempatan semula daripada JPN (bersama-sama dengan surat tawaran perlantikan SPP). SPP akan menetapkan tarikh pengesahan perlantikan berdasarkan tarikh penempatan semula ini (iaitu tarikh guru siswazah melapor diri) selepas guru siswazah telah menerima tawaran perlantikan daripada SPP.

Senario yang sebenar ialah kebanyakan tarikh pengesahan lantikan DG41 guru siswazah secara PJJ adalah lebih satu tahun daripada tarikh konvo mereka. Ini adalah disebabkan tempoh permohonan (selepas konvo)hingga temuduga sudah mengambil masa sekurang-kurangnya setengah tahun, malah ada yang lebih setahun.

Selepas itu surat tawaran drp SPP mengambil masa beberapa bulan baru sampai ke sekolah melalui BSM KPM dan JPN.

Surat pengesahan perlantikan pula hanya akan diterima beberapa bulan atau hampir setahun selepas guru siswazah menerimaan tawaran lantikan. Tarikh pengesahan perlantikan biasanya dibelakangkan pada atau selepas tarikh penempatan semula atau tarikh lapor diri guru siswazah.

Sabarlah Cikgu Kadir, inilah kecekapan sistem penyampaian pentadbiran kita dalam proses perlantikan sesuatu jawatan perkhidmatan awam dari dulu hingga kini.

Salam dari guru siswazah yang senasib.

Anonymous said...

Cikgu Aduka,

Biasanya tarikh perlantikan guru siswazah PJJ adalah selepas tarikh temuduga dan bukan tarikh konvo. Ini mungkin disebabkan oleh tarikh penempatan semula dan tarikh melapor diri sebagai guru siswazah yang mempengaruhinya. Secara logiknya tarikh perlantikan tidak boleh lebih awal daripada tarikh melapor diri sesuatu jawatan perlantikan. Kecuali sistem program pensiswazahan GB adalah lain drp program PJJ.