28 May 2009

Insentif khas untuk pensyarah IPT

Berita Harian

Tenaga pengajar digalak guna kreativiti hasil karya inovatif dan buat penyelidikan

PELABUHAN KLANG: Kerajaan bercadang menyediakan insentif khas kepada pensyarah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang menggunakan kreativiti dan lebih berinovasi seperti menghasilkan buku, membuat penyelidikan dan pembangunan serta penulisan dalam jurnal.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah gaji yang diterima pensyarah di IPTA ketika ini adalah munasabah dan tidak boleh dibandingkan dengan kenaikan gaji guru berikutan skop kerja yang berbeza.

"Kita akan mulakan kajian apakah insentif sesuai kepada pensyarah yang boleh memenuhi kehendak universiti," katanya mengulas rungutan pensyarah yang mahu kerajaan menimbang kenaikan gaji mereka.

Beliau berkata demikian pada sidang media di atas kapal latihan Hanbada milik Universiti Maritim Korea (KMU) di Terminal Star Cruise di Pulau Indah, di sini, semalam.

Mohamed Khaled sebelum itu menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara KMU dengan Maritime Training Education Sdn Bhd bagi menubuhkan Pusat Kerjasama Antarabangsa KMU di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, KMU berminat membuka kampus cawangan di negara ini yang akan menjadi kampus pertama universiti tersohor itu di luar negara.

Katanya, KMU memilih Malaysia kerana mempunyai infrastruktur maritim yang lengkap di samping kemampuan menguasai bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas dalam bidang itu.

"Sebagai permulaan KMU mungkin mengadakan kerjasama atau menumpang di pusat pengajian tinggi yang menawarkan bidang sama seperti Akademi Laut Malaysia (Alam)," katanya.

Sementara itu, ketika mengadakan lawatan ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur, Mohamed Khaled berkata, universiti itu akan menubuhkan Fakulti Perubatan tidak lama lagi dengan menjadikan hospital tentera di bawah Kementerian Pertahanan sebagai hospital pengajar.

No comments: