Kakitangan awam perlu jadi penggerak majukan negara
Utusan Online
PUTRAJAYA 10 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pegawai awam muda mencontohi kakitangan kerajaan pada zaman awal kemerdekaan yang menjadi tenaga penggerak utama dalam membantu pemimpin rakyat membangunkan negara.
Perdana Menteri berkata, kakitangan awam ketika itu begitu bersemangat melaksanakan tanggungjawab mereka walaupun jumlah mereka yang mempunyai kelulusan tinggi tidak seramai sekarang.
Beliau yang berkongsi pengalaman selama 45 tahun dalam sektor awam dan politik berkata, kesungguhan kakitangan awam memajukan bidang pendidikan membolehkan usaha mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada golongan ekspatriat berjaya dilakukan dengan cepat.
"Selepas itu, kita melaksanakan proses pemodenan bidang pentadbiran awam dengan menggunakan sepenuhnya tenaga anak-anak tempatan.
"Mereka telah dapat lakukan program-program dalam pelbagai bidang, semua digerakkan oleh pegawai tadbir kerajaan dengan disokong oleh pemimpin rakyat," katanya.
Beliau berucap merasmikan Persidangan Eksekutif Muda Perkhidmatan Awam 2009: Kepimpinan Masa Depan Sektor Awam dan Misi Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Menurut Abdullah, setelah mencapai kejayaan membangunkan negara dalam tempoh 51 tahun, kakitangan awam perlu membentuk satu kekuatan menyeluruh bagi menghadapi segala impak tekanan luaran dan dalaman supaya matlamat menjadi negara maju pada tahun 2020 dapat dicapai.
"Situasi ekonomi dunia yang tidak menentu menghimpit banyak negara dan menyebabkan dunia kehilangan nilai aset sebanyak AS$20 trilion, ia merupakan situasi yang serius dan tidak pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua," katanya.
Justeru beliau berkata, Misi Nasional yang telah dirangka di bawah pentadbirannya sejak 2004 boleh dijadikan pendekatan dan strategi dalam mencapai matlamat negara maju itu.
No comments:
Post a Comment